Pemimpin MIC perlu rapatkan barisan - Najib

Diterbitkan: Ahad, 13 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pemimpin yang menang pada pemilihan MIC agar merapatkan barisan dan memenangi kembali sokongan masyarakat India di negara ini.

Beliau menyampaikan ucap tahniah kepada Datuk G. Palanivel kerana berjaya mengekalkan jawatan Timbalan Presiden MIC serta pemimpin MIC lain selain menyifatkan keputusan itu sebagai tiada kejutan dan telah dijangkakan.

"Keputusan yang diumumkan itu merupakan keputusan yang dijangkakan, tidak ada suatu kejutan dari segi keputusan walaupun ada sokongan kepada calon lain yang agak besar.

"Namun berpandu kepada ucapan saya pada pagi tadi, saya kira ini sebagai titik permulaan kepada usaha mereka untuk memenangi sokongan dan hati masyarakat India," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan di Masjid Felda Chini 4, di sini, hari ini.

Palanivel menewaskan bekas Timbalan Presiden Datuk S. Subramaniam dan bekas Naib Presiden Datuk S. Sothinathan pada pemilihan MIC itu.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata pemimpin yang dipilih itu perlu memberi tumpuan sepenuhnya supaya MIC dapat bangkit semula sebagai parti yang relevan dan seterusnya menyokong BN khususnya di kawasan yang mempunyai bilangan besar penduduk kaum India.

Diminta mengulas sama ada keputusan itu menunjukkan sokongan terhadap Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu, Najib berkata " keputusan ini dijangka kerana "sifat perwakilan MIC".

Ditanya jika keputusan tersebut akan mewujudkan perpecahan di kalangan anggota MIC, Najib berkata pihak yang tewas perlu menerima keputusan itu.

Katanya, apa yang lebih penting ialah perpaduan dalam MIC untuk menghadapi cabaran yang lebih besar iaitu memenangi hati kaum India.

"Yang penting sekarang ialah pimpinan sekarang mesti dapat menyesuaikan diri dengan kehendak kaum pengundi India, mereka mesti tahu aspirasi dan kehendak kaum India, mesti sanggup berbuat apa saja untuk memenangi sokongan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata ekonomi negara dijangka mencatatkan pertumbuhan positif pada suku keempat tahun ini setelah mencatatkan pertumbuhan negatif sepanjang tiga suku pertama.

Katanya pelbagai langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan termasuk pakej ransangan bernilai lebih RM67 bilion serta komitmen daripada rakyat mampu merealisasikan bagi pemulihan ekonomi negara.

Sebagai contoh, Najib berkata dengan keadaan ekonomi yang lebih baik, peneroka Felda juga bakal menerima lebih banyak berita gembira termasuk bonus jika Felda berjaya meneruskan prestasi cemerlangnya.

"Walaupun keadaan ekonomi dunia tidak begitu baik, banyak syarikat di negara ini termasuk Felda masih mampu memberikan sumbangan kepada rakyat termasuk pada majlis yang dianjurkan pada hari ini," katanya.

Beliau kemudian menyerahkan sumbangan kepada lebih 3,000 penerima termasuk ibu tunggal, warga emas dan anakanak yatim. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan