PAS kenal pasti tiga calon untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang

Diterbitkan: Ahad, 13 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS telah mengenal pasti tiga calon anak tempatan untuk diketengahkan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata nama tiga calon tersebut diserahkan oleh PAS Negeri Sembilan pada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini.

"PAS negeri (Negeri Sembilan) telah kemukakan nama tiga orang calon yang telah dikenalpasti berpengalaman dan diyakini boleh berkhidmat kepada rakyat. Semuanya adalah anak tempatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS di sini, hari ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, daripada Barisan Nasional (BN) yang meninggal dunia pada 4 Sept lepas.

Beliau berkata PAS hanya menunggu pengumuman tarikh pilihan raya kecil tersebut daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum mengumumkan nama calon yang terpilih.

SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian esok.

Mengenai peluang PAS, Abdul Hadi berkata peluang untuk PAS memenangi pilihan raya kecil tersebut adalah cerah berikutan momentum kemenangan yang semakin melonjak yang diperolehi parti itu sejak Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

"Pada pilihan raya umum lalu kita hanya kalah dengan kirakira 2,000 undi sahaja dan berdasarkan momentum kemenangan yang diperolehi menerusi beberapa pilihan raya kecil, peluang untuk menang adalah cerah," katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, calon PAS, Ramli Ismail memperolehi 4,097 manakala Azman memperolehi Azman 6,430 undi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan