Mahasiswa Malaysia-Indonesia setuju tubuh sebuah badan baru elak ketegangan

Diterbitkan: Ahad, 13 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahasiswa Malaysia dan Indonesia telah mengorak langkah positif untuk meredakan ketegangan kedua-dua buah negara ekoran sentimen anti-Malaysia yang sedang panas di negara tersebut sekarang dengan bersetuju membentuk sebuah badan baru yang dinamakan Indonesian-Malaysian Students Association (IMSA).

Persetujuan tersebut dicapai hasil pertemuan yang dianjurkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Jakarta pada malam Jumaat lalu.

Pengarah MSD Jakarta, Dr Junaidy Abu Bakar memberitahu mStar Online, persetujuan tersebut dicapai dalam pertemuan yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia dan Kelab UMNO Jakarta dengan pemimpin pelajar Indonesia yang diwakili oleh Badan Eksekutif Mahasiswa Indonesia.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia adalah badan terbesar mewakili lebih 5,900 pelajar Malaysia yang kini sedang menuntut di Indonesia.

Pertemuan tersebut diatur oleh MSD untuk meredakan ketegangan ekoran sentimen anti-Malaysia yang dianjurkan oleh beberapa badan tertentu khususnya oleh satu kumpulan yang mengelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat.

Sentimen anti-Malaysia ini dianjur dalam bentuk demonstrasi saban hari khususnya di Jalan Diponegoro, Jakarta yang terletak hanya lebih kurang 7 hingga 8 kilometer dari Kedutaan Malaysia.

Mereka juga melakukan demonstrasi di hadapan kedutaan Malaysia hampir setiap hari sejak beberapa minggu kebelakangan ini termasuk membaling telur busuk minggu lalu selepas Malaysia dituduh mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali sebagai tarian Malaysia dalam satu program promosi Malaysia yang disiarkan di saluran Discovery Channel.

Saluran itu bagaimanapun telah mengaku ia merupakan satu kesilapan dipihak mereka dan bukannya kesalahan kerajaan Malaysia.

Malaysia sebelum ini telah beberapa kali dituduh mencuri kebudayaan Indonesia termasuk tarian lagu barongan, batik, rasa sayang dan baru-baru ini, lagu kebangsaan.

Dr Junaidy, ketika dihubungi di Jakarta tengah hari Sabtu berkata, kedua-dua badan mahasiswa itu bersetuju untuk meletakkan IMSA di bawah naungan MSD.

Antara lain katanya IMSA akan bertindak menganjurkan program-program yang dapat meningkatkan kerjasama dan pemahaman di antara mahasiswa kedua-dua buah negara.

Malah katanya, pemantauan keselamatan mahasiswa Malaysia akan turut dilakukan oleh organisasi bersama ini dan Badan Eksekutif Mahasiswa Indonesia sendiri telah memberi jaminan bahawa mereka akan memaklumkan kepada seluruh cawangannya di mana terdapatnya pelajar Malaysia supaya turut memantau keselamatan mahasiswa Malaysia.

Beliau juga berkata, IMSA akan turut menganjurkan program sukan dan program kebudayaan serta program kesukarelaan yang melibatkan bukan sahaja mahasiswa tetapi rakyat kedua-dua buah negara.

“Dalam tempoh terdekat ini, satu program lawatan sambil belajar akan kita aturkan untuk membolehkan mahasiswa Indonesia lebih mengenali budaya dan cara hidup Malaysia. IMSA akan merangka dan laksanakan program ini nanti,” katanya.

Menurut Dr Junaidy, kedua-dua pihak juga bersetuju sekiranya pelajar Malaysia di Indonesia menganjurkan sesuatu program, Badan Eksekutif Mahasiswa Indonesia akan turut menghantar wakilnya ke program tersebut.

Sejak sentimen anti-Malaysia melanda Indonesia seminggu yang lalu, MSD telah mengambil langkah segera memantau institusi dan juga bandar yang terdapat penuntut Malaysia.

Pegawai MSD turut berkunjung ke bandar-bandar seperti Jogjakarta di mana jumlah populasi mahasiswa Malaysia adalah di antara yang terbesar.

Malah di Jogjakarta, Medan dan Makasar, terdapat demonstrasi di dalam kampus yang ditujukan kepada para pelajar Malaysia. Di Jogjakarta misalnya kediaman seorang penuntut perubatan Malaysia telah dilontar dengan objek tetapi setakat ini tiada kecederaan yang dilaporkan.

MSD juga telah meminta kerjasama daripada Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia dan Kelab Umno Indonesia untuk bertindak sebagai pemantau memandangkan kedua-dua organisasi ini mempunyai cawangan di universiti yang terdapat pelajar Malaysia.

Di antara langkah keselamatan yang telah diambil oleh MSD ialah menasihati pelajar agar tidak membalas sebarang provokasi daripada mana-mana badan atau individu yang menunjukkan sentimen anti-Malaysia; mengelak daripada berada di kawasan demonstrasi diadakan; mereka diminta segera merujuk kepada pihak berkuasa Malaysia atau tempatan sekiranya berlaku sesuatu insiden; mereka juga telah dibekalkan dengan nombor telefon kedutaan dan konsul general Malaysia di Indonesia termasuk no telefon bimbit para pegawai MSD.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan