Pembaharuan penting bagi survival Umno - Pemerhati Politik

Diterbitkan: Sabtu, 12 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Beberapa penganalisis politik melihat keputusan Majlis Tertinggi Umno yang pada dasarnya bersetuju untuk menghapuskan sistem kuota serta memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan untuk memilih pemimpin sebagai tindakan yang memenuhi selera masyarakat.

Tindakan itu juga dilihat akan mendapat sokongan semua pihak bukan sahaja di kalangan ahli Umno malah juga penyokong parti itu.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein, ketika dihubungi berkata, beliau percaya tindakan memansuhkan sistem kuota dalam Umno akan dapat mengembalikan sokongan ahli Umno itu sendiri.

"Umno semakin ditinggalkan oleh ahlinya sendiri...oleh itu keyakinan ahli perlu dipulihkan bagi mengembalikan sokongan mereka terhadap Umno.

"Jadi bagi saya tindakan memansuhkan sistem kuota dan memberi peluang yang lebih luas kepada ahli akar umbi untuk memilih pemimpin mereka hingga ke peringkat atasan adalah langkah terbaik.

"Dengan cara ini ahli Umno akan kembali menyokong Umno dan tidak mustahil juga orang luar yang bukan ahli juga akan tertarik dengan Umno," katanya kepada mStar Online.

Semalam Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, keputusan memansuhkan sistem kuota berkenaan juga bertujuan membanteras politik wang dan menjadikan proses pemilihan lebih telus dan demokratik selain menunjukkan Umno benar-benar parti yang melibatkan pelbagai golongan masyarakat.

Jelas Ahmad Atory, tindakan menghapuskan sistem kuota ini juga adalah penting bagi survival Umno.

"Banyak lagi usaha yang perlu dipertingkatkan oleh pemimpin-pemimpin Umno bagi memastikan parti itu terus kekal relevan.

"Umno perlu yakinkan masyarakat khususnya ahlinya sendiri bahawa Umno adalah sebuah parti yang mahu berubah.

"Tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul bersama dalam Umno ialah untuk yakinkan ahlinya supaya mereka tidak beralih selera menyokong pihak lain," katanya.

Ahmad Atory juga berkata dengan pemansuhan sistem kuota, Umno dapat mewujudkan satu persaingan yang sihat dalam memilih pemimpin.

Katanya, apabila syarat kelayakan untuk bertanding dipermudahkan, sudah pasti ia akan membuka lebih banyak ruang kepada ahli peringkat akar umbi yang mempunyai bakat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam parti itu.

"Ahli Umno sendiri terdiri daripada pelbagai jenis golongan termasuk cerdik pandai, ahli korporat dan sebagainya. "Bila semuanya menjadi mudah (proses pencalonan), maka tidak mustahil golongan ini terutamanya generasi muda merasakan mereka juga mampu memberi sumbangan kepada parti.

"Tidaklah mereka perlu memperolehi kuota tertentu baru layak untuk bertanding, cukup sekadar jadi ahli untuk tempoh waktu tertetu... mereka sudah layak," katanya.

Walaubagaimanapun Ahmad Atory berkata, Umno perlu menyediakan satu mekanisme atau garis panduan bagi memastikan calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding benar-benar mempunyai kelayakan.

"Harus diingat bila kuota dah tak ada, sesiapa sahaja boleh bertanding.

"Jadi Umno perlu perhalusi kaedah pelaksanaannya sama ada untuk menyediakan syarat minimum kepada calon yang ingin bertanding bagi memastikan kualitinya tidak terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata, tindakan menghapuskan sistem kuota dan usaha untuk melibatkan lebih ramai ahli memilih pemimpin dapat mencegah amalan politik wang.

Katanya dengan melibatkan lebih ramai ahli sebagai perwakilan, sukar bagi seseorang calon itu untuk menawarkan apa-apa ganjaran supaya memberi undi kepadanya.

"Kalau sekarang ini hanya kira-kira 2,500 perwakilan yang akan buat pilihan, tapi nanti apabila sistem pemilihan sudah dirombak dengan memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan yang mungkin mencecah sehingga 100,000 orang... sudah pasti amalan politik wang dapat dibanteras.

"Jumlah (perwakilan) sikit mungkin boleh 'dibeli', tapi bila jumlahnya ditambah hingga ratusan ribu... mampukah mereka nak 'beli' perwakilan seperti yang didakwa banyak pihak," katanya.

Ditanya sama ada dengan memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk bertanding jawatan dalam Umno akan melahirkan pemimpin-pemimpin yang tidak berkualiti serta diragui kredibilitinya sebagai pemimpin, Ahmad Nizamuddin berkata Umno perlu memperkenal satu kaedah untuk mengatasinya.

Walaubagaimanapun jelasnya, beliau yakin ahli-ahli Umno sendiri bijak untuk menilai dan memilih siapakah pemimpin yang akan menerajui parti mereka.

"Ahli-ahli Umno sudah pasti tidak melulu untuk memilih pemimpin, mereka pasti akan mengkaji dahulu latarbelakang dari segi pengalaman dan sumbangan seseorang calon itu sebelum mereka membuat pilihan.

"Memilih pemimpin bukan soal main-main, saya yakin ahli Umno ada pertimbangan mereka dalam soal ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan