MIC syor KPI Perpaduan Nasional jayakan 1Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 12 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vell mengesyorkan peruntukan pertimbangan KPI sehingga 30 peratus perlu digalakkan untuk perpaduan nasional. --fotoTHE STAR
Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vell mengesyorkan peruntukan pertimbangan KPI sehingga 30 peratus perlu digalakkan untuk perpaduan nasional. --fotoTHE STAR

KUALA LUMPUR: MIC mengesyorkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Perpaduan Nasional bagi mempercepatkan proses mencapai matlamat gagasan 1Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak April lalu.

Sehubungan itu kata Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vell mengesyorkan peruntukan pertimbangan KPI sehingga 30 peratus perlu digalakkan untuk perpaduan nasional.

"Di saat dan ketika ini adalah amat penting bagi kita untuk mengambil inisiatif-inisiatif bagi mempercepatkan perpaduan negara seperti yang disarankan dalam konsep 1Malaysia.

"Sehubungan ini, MIC mencadangkan supaya setiap kementerian dan agensi kerajaan memaju serta menggabungkan satu KPI Perpaduan Nasional, yang perlu diukur dan dilaksanakan dengan teratur sehingga ke peringkat daerah," kata Samy Vellu dalam Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung MIC Ke-63 pagi tadi.

Perhimpunan kali ini dirasmikan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak julung kali selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional. Samy Vellu juga mahu rakyat mengamalkan perkongsian yang tulen untuk memajukan masyarakat dan menjadikan Malaysia sebagai satu kuasa ekonomi global.

"Marilah kita sama-sama merealisasikan harapan masyarakat kerana mereka melihat kita sebagai satu iaitu Barisan Nasional dan Kerajaan Satu Malaysia.

"Marilah kita mengamalkan perkongsian yang tulen untuk memajukan masyarakat serta menjadikan Malaysia sebagai satu kuasa ekonomi global," katanya.

"Dengan mengamalkan kejujuran, kita akan maju dan mencapai cita-cita rakyat dan negara.

"Sejajar dengan aspirasi 1Malaysia, marilah kita semua menunjukkan ketabahan hati dengan merendah diri untuk maju dan menunjukkan kesetiaan, kejujuran serta keikhlasan melalui satu masyarakat yang berpendidikan melalui budaya yang cemerlang," kata beliau.

Bekas anggota Kabinet Persekutuan ini menambah, gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri bertepatan dengan situasi semasa kerana telah memberi keutamaan tertinggi terhadap isu perpaduan, kerukunan dan keadilan.

Katanya, MIC memberi jaminan untuk memberikan sokongan padu dalam membantu usaha murni Najib menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia.

Ia juga adalah saat penting bagi mempercepatkan proses perpaduan kebangsaan dengan mengambil langkah-langkah positif seperti yang termaktub dalam konsep 1Malaysia, kata Samy Vellu sambil menambah:

"Ketika ekonomi Malaysia terus menghadapi cabaran-cabaran, masyarakat India tetap bersatu dan menyokong segala inisiatif kerajaan dalam memperteguhkan masa depan ekonomi negara.

"Kita percaya cabaran-cabaran ini dapat ditangani berlandaskan dengan satu misi dan satu matlamat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan