Pemuda Umno hantar memo bantahan ke Kedutaan Indonesia

Diterbitkan: Jumaat, 11 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia hari ini menghantar memorandum bantahan ke Kedutaan Indonesia di sini berhubung demonstrasi sekumpulan rakyat negara itu di Kedutaan Malaysia di Indonesia baru-baru ini.

Kira-kira 20 ahli Pemuda berarak sejauh 10 meter secara aman ke pekarangan kedutaan itu kira-kira pukul 4.30 petang dengan membawa kain rentang bertulis 'Mana Pergi Budi Bahasa Rumpun Yang Sama' dan 'Jalur Gemilang Maruah Kami'.

Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa Pemuda Umno, Datuk Ahmad Zaki Zahid yang mengetuai perarakan itu telah menyerahkan memorandum tersebut kepada Penasihat Menteri Bahagian Penerangan, Sosial dan Budaya Indonesia, Widaryarka Ryananta.

Pertemuan antara Ahmad Zaki bersama Exco Pemuda, Abdul Razak Abdul Rahman dengan pihak kedutaan itu berlangsung kira-kira 20 minit.

Menurut Ahmad Zaki, Pemuda Umno mengambil tindakan menghantar memorandum bantahan itu berikutan tindakan sekumpulan 50 anggota Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) bersenjatakan buluh runcing membuat sekatan di Jalan Diponegoro untuk mengancam rakyat Malaysia kerana tidak berpuas hati berhubung isu tarian Pendet, Selasa lalu.

Katanya, pihak Kedutaan Indonesia telah menyambut baik dan menerima pandangan golongan seperti Pemuda Umno untuk menenangkan keadaan.

"Pertemuan berlangsung dalam suasana baik dan bagus. Kami (Pemuda Umno) telah menerangkan hubungan istimewa kedua-dua negara," katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum bantahan itu.

Berhubung kandungan memorandum itu, Ahmad Zaki berkata, pihaknya telah menggariskan lima perkara untuk perhatian pihak Kedutaan Indonesia.

"Pertama, kita menggesa kerajaan Indonesia mengambil tindakan terhadap anasir-anasir tertentu yang cuba mengeruhkan hubungan Malaysia-Indonesia.

"Kedua, kita mohon pihak media Indonesia agar lebih bertanggungjawab dan tidak mensensasikan isu kecil sehingga menjadi besar," katanya.

Ahmad Zaki menambah, bagi perkara ketiga, Pemuda Umno meminta golongan pemimpin, mahasiswa dan diplomat kedua-dua buah negara itu mengadakan perbincangan dua hala bagi kebaikan bersama.

Katanya, perbincangan dua hala itu boleh diadakan dalam bentuk forum dan dialog terbuka.

"Ini adalah bagi memahami titik persefahaman kedua-dua buah negara dan menyelami punca perselisihan secara intelektual, berpandu pada tuntutan rasional dan bukan emosi," katanya.

"Keempat, Pemuda Umno meminta hubungan istimewa kedua-dua buah negara diperkasakan dalam menempuh arus globasasi kerana peranan penting masing-masing dalam memacu kemakmuran dan ekonomi serantau.

"Kelima Pemuda Umno mendesak semua pihak bekerjasama dalam memastikan kesepakatan hubungan Malaysia-Indonesia bagi menjamin kesejahteraan bangsa kedua-dua negara," kata Ahmad Zaki.

Punca ketegangan terbaru ini ialah tuduhan kononnya Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali untuk promosi pelancongannya yang disiarkan di saluran Discovery Channel.

Saluran itu bagaimanapun telah mengaku ia merupakan satu kesilapan di pihak mereka dan bukannya kesalahan kerajaan Malaysia.

Namun, tuduhan ini terbukti tidak benar kerana klip video promosi itu dibuat oleh syarikat swasta berpejabat di Singapura yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan Malaysia.

Semalam beberapa cendekiawan tempatan menggesa media massa tempatan lebih berhati-hati dalam melemparkan tuduhan, dan penulisan serta penyiaran hendaklah berdasarkan fakta yang sudah dipastikan tepat, betul dan benar.

Malaysia sebelum ini telah beberapa kali dituduh mencuri kebudayaan Indonesia termasuk tarian lagu barongan, batik, lagu kebangsaan Negaraku dan Rasa Sayang.

Semalam, Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyatnya di Indonesia termasuk kira-kira 5,600 pelajar perubatan, kedoktoran dan pergigian di samping ribuan profesional yang bekerja di republik itu, yang terdedah kepada ancaman golongan itu yang menggunakan slogan 'ganyang Malaysia' dan mengakui mempunyai ilmu kebal.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono mengingatkan rakyatnya bahawa tindakan kekerasan 'menyapu bersih' rakyat Malaysia tidak akan menyelesaikan masalah, malah sebaliknya akan menimbulkan masalah baru.

Beliau mengulas tindakan segelintir rakyat Indonesia yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) melakukan 'sweeping' ke atas rakyat Malaysia di Jakarta dengan keluar ke jalan membawa buluh runcing dan memeriksa tanda pengenalan orang ramai yang melalui Jalan Diponegoro untuk mencari rakyat Malaysia.

Beliau berkata terdapat 1.8 juta rakyat Indonesia yang sedang mencari rezeki dan belajar di Malaysia, yang pasti akan berada dalam kebimbangan sekarang berikutan reaksi berlebihan segelintir rakyat Indonesia menimbulkan sengketa budaya dengan Malaysia.

Susilo berkata 'sweeping' ke atas rakyat Malaysia adalah tindakan kekerasan dan bertentangan dengan undang-undang, apatah lagi ketika umat Islam, baik rakyat Malaysia mahupun rakyat Indonesia sedang menunaikan ibadah puasa.

Duta Besar Indonesia di Malaysia Da'i Bahtiar juga mengakui berasa malu kerana semua tuduhan yang diapi-apikan oleh media massa yang telah membakar semangat segelintir rakyat untuk bertindak membenci Malaysia akhirnya terbukti salah dan tidak berasas.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan