Nasihat PM boleh redakan ketegangan dalam MCA

Diterbitkan: Jumaat, 11 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA Datuk Seri Kong Cho Ha berpendapat isu dalaman MCA mungkin mampu diselesaikan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dapat memberikan nasihat kepada mereka yang terlibat.

Beliau berkata Najib cukup perihatin dengan isu yang melanda MCA dan percaya nasihatnya boleh meredakan ketegangan dua pihak yang bertelagah itu.

"Kita tahu semua parti komponen BN perihatin dan risau dengan perkembangan dalaman parti MCA, jadi saya fikir Pengerusi BN mungkin boleh bantu untuk memberi nasihat yang bernas kepada semua yang terlibat untuk kepentingan BN keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Raya 2009 di Plaza Tol Sungai Besi di sini, hari ini.

Najib telah berkata bahawa beliau tidak akan campur tangar melainkan diminta menjadi orang tengah.

Kong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun berkata, setakat ini beliau belum menghubungi dan memaklumkan pandangan tersebut kepada pengerusi BN itu.

"Secara peribadi saya belum hubungi beliau (Najib) lagi kerana apa yang saya lontarkan ini hanya merupakan pendapat peribadi saya demi kepentingan BN keseluruhannya," katanya.

Isu dalaman MCA mula tercetus apabila timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dipecat daripada parti pada 26 Ogos lepas ekoran video skandal seks beliau pada 2007 yang didakwa mencemarkan imej parti itu.

Kong berkata isu tersebut bukan hanya diikuti oleh parti komponen BN malah ia turut diperhati masyarakat keseluruhannya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan