Inkues Teoh: Makhamah Tinggi tolak permohonan semakan SPRM

Diterbitkan: Khamis, 10 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan semakan yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memadam keterangan seorang saksi yang mendakwa beliau didera secara fizikal oleh pegawai SPRM semasa disoal siasat tahun lepas.

Mahkamah Tinggi, yang bersidang di sini, memutuskan bahawa koroner tidak melakukan sebarang kesilapan, khilaf atau perkara yang tidak betul dalam membenarkan saksi T. Sivanesan memberi keterangan dalam prosiding inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock.

"Permohonan untuk menangguhkan prosiding inkues tidak dibenarkan dan saya memerintahkan supaya inkues diteruskan," kata Pesuruhjaya Kehakiman Datin Yeoh Wee Siam ketika menolak permohonan SPRM bagi menyemak keputusan koroner itu.

"Saya mempunyai pengetahuan secukupnya dalam kes ini setelah membaca kesemua rekod prosiding inkues dan surat permohonan daripada SPRM, oleh itu semua pihak hendaklah berhujah secara ringkas supaya saya boleh membuat keputusan hari ini juga," katanya.

Terdahulu itu, peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga mendiang Teoh, telah membantah permohonan semakan SPRM atas alasan ia tidak dibuat secara rasmi kepada mahkamah tetapi bantahan itu kemudian ditolak.

Semalam, koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan bahawa laporan polis oleh Sivanesan bertarikh 11 Sept tahun lepas yang mendakwa beliau didera oleh sekumpulan pegawai SPRM, adalah relevan dalam membantu inkues untuk menentukan punca kematian Teoh.

Koroner juga membenarkan Sivanesan untuk memberi keterangan dalam prosiding itu dan menerima laporan polis bersama dengan gambar kesan kecederaan yang didakwa oleh saksi itu.

Berikutan itu, SPRM menerusi peguamnya Datuk Abdul Razak Musa segera memfailkan surat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan koroner itu.

Pada prosiding hari ini, Manoj Kurup, yang mewakili SPRM, mengemukakan bahawa keputusan koroner itu adalah khilaf dan laporan polis saksi tidak relevan dan tidak akan membantu koroner dalam prosiding inkues itu.

Beliau turut mendakwa bahawa tujuan membawa Sivanesan ke mahkamah untuk memberi keterangan adalah sematamata untuk memburukkan imej SPRM.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, kirakira 10 jam selepas memberi keterangan kepada SPRM dalam siasatan salah guna wang oleh ahli majlis exco negeri.

"Laporan polis dan keterangan saksi (Sivanesan) adalah dakwaan yang tidak ditentusahkan...perkara itu (dakwaan penderaan) masih dalam siasatan polis.

"Keterangan Sivanesan sama ada betul atau tidak, berkaitan dengan kes lain di mana dia adalah suspek. Kes ini tidak kena mengena dengan inkues dan tidak ada keterangan mengenai kecederaan yang dialami oleh mendiang," kata Manoj.

Gobind menegaskan bahawa laporan polis dan keterangan saksi adalah penting untuk membantu koroner dalam membuat keputusan mengenai punca kematian mendiang Teoh.

"Kandungan laporan itu adalah kaitan dengan tempat sama dan tingkat sama serta membabitkan pegawai yang sama (Mohd Ashraf Mohd Yunus yang memberi keterangan dalam inkues itu).

"Kami mempunyai keterangan untuk menunjukkan Teoh dipukul oleh pegawaipegawai ini dan mereka bohong dalam keterangan mereka sebelum ini.

"Kenapa tidak kita memberi peluang untuk menampilkan saksi kami untuk menunjukkan bahawa serangan telah dilakukan, digunakan dan terus akan digunakan dalam pejabat SPRM?," katanya.

"Biar koroner melaksanakan inkues mengikut caranya. Dia hanya mahu keterangan yang dapat membantunya kemudian dan tidak ada salah dengan itu," kata Gobind sambil meminta mahkamah menolak permohonan SPRM itu.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan Selangor, berkata Mahkamah Tinggi tidak harus campur tangan dengan hak pihakpihak untuk mengemukakan keterangan dalam inkues itu.

Beliau turut berkata pakar pathologi forensik Dr Khairul Azman Ibrahim, dalam keterangannya dalam prosiding inkues sebelum ini, telah mengesahkan ada kemungkinan Teoh mengalami kecederaan sebelum jatuh di bahagian kepala, muka dan dubur.

Prosiding inkues disambung semula esok. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan