Sothinathan: Saya Terpaksa Ingkari Arahan Mentor...

Diterbitkan: Rabu, 9 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Calon jawatan Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan hari ini mendedahkan, beliau terpaksa mengingkari arahan mentornya yang juga presiden parti, Datuk Seri S. Samy Vellu agar tidak bertanding jawatan nombor dua itu demi memenuhi kehendak masyarakat India dan akar umbi parti yang dahagakan perubahan.

Sambil menegaskan yang beliau tidak mengkhianati sesiapa termasuk mentornya itu, Sothinathan sebaliknya menegaskan; “Saya bertanding bukan kerana hendak menentang kehendak beliau (presiden) tetapi saya bertindak atas niat dan kesedaran saya bahawa MIC perlukan perubahan bersesuaian dengan kemahuan masyarakat.”

Pada masa yang sama, Sothinathan turut mengakui bahawa dalam usaha untuk mengelakkan beliau memasuki gelanggang Timbalan Presiden, Samy Vellu telah membuat tawaran kepadanya iaitu beri laluan kepada Datuk G. Palanivel dan apabila Palanivel mengambilalih tampuk kepimpinan MIC pada tahun 2012, Sothinathan akan “ditunjuk” sebagai orang nombor dua parti.

Kata Sothinathan, beliau menolak tawaran tersebut.

"Malangnya, saya tidak dapat menerima tawaran tersebut. Sebaliknya saya perlu mengambil kira kehendak masyarakat India pada umumnya, kehendak akar umbi parti dan kesedaran saya bahawa ini perlu dilakukan sekarang. Saya tidak bertindak bertentangan dengan kehendak mana-mana pihak, saya melakukan apa yang saya rasakan betul.

"Malah perlu saya tegaskan bahawa saya berada di sini bukan untuk memenuhi kehendak individiu tertentu, saya berada di sini untuk memenuhi kehendak masyarakat," kata beliau pada satu pertemuan eksklusif dengan mStar Online di pejabat MIC Bahagian Telok Kemang di sini lewat petang semalam.

Diminta menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai apa yang sebenarnya berlaku, Sothinathan berkata, beliau secara peribadi telah memaklumkan hasratnya mahu bertanding jawatan timbalan sebanyak dua kali kepada presiden sendiri pada Mei lalu berdasarkan bayangan sokongan yang diterima sepanjang 18 bulan lalu iaitu selepas pilihan raya umum ke-12.

Dalam kedua-dua pertemuan secara bersemuka itu yang berlangsung di rumah presiden di ibu negara, kata Sothinathan, Samy Vellu tidak merestui hasratnya.

Sebalikanya Samy mahu mengekalkan status quo bagi membolehkan Datuk G. Palanivel terus kekal sebagai timbalannya.

"Ya, saya memberitahu beliau yang saya mahu bertanding jawatan nombor dua, di mana beliau tidak gembira dengan keputusan saya itu. Beliau mahu status quo dikekalkan, di mana saya tidak bersetuju kerana saya merasakan perlu ada perubahan.

"Atas alasan ini saya berpendirian tegas dengan keputusan saya ini. Malah pada mulanya presiden seperti membuka laluan kepada saya apabila saya diberi mandat untuk mengendalikan program penjenamaan semula parti di seluruh negara (bersama Presiden parti).

"Saya telah berpeluang melihat kehendak dan tuntutan masyarakat yang mahukan pembaharuan dalam parti, agar kepimpinan lapisan muda yang dinamik muncul di barisan utama parti," tambah beliau yang menyandang jawatan Setiausaha Agung parti selama enam tahun sejak 2000.

Tetapi kata Sothinathan suasana berubah sebaik sahaja hubungan dingin presiden dengan timbalannya kembali pulih tidak lama kemudian.

Sothinathan yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Samy Vellu dilihat sebagai anak emas Samy kerana beliau dipimpin dan diasuh untuk mengambilalih jawatan setiausaha agung MIC sejak mula-mula dibawa masuk ke dalam parti itu.

Sebagai langkah pertama ke arah itu, beliau telah dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen Telok Kemang pada pilihan raya kecil tahun 2000 dan kekal di jawatan itu sehinggalah beliau tewas pada pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008.

Selain Sothinathan, turut tewas pada pilihan raya umum 8 Mac 2008 itu ialah Samy Vellu sendiri dan juga Palanivel.

Dalam satu temu bual dengan Buletin Utama TV3 malam Isnin, Samy Vellu telah mendedahkan bahawa beliau telah meminta Sothinathan kekal sebagai Naib Presiden dan memberi laluan kepada Palanivel untuk mempertahankan jawatan timbalan.

Sebagai balasan, Sothinathan akan ditunjukkan sebagai orang nombor dua MIC sebaik sahaja Palanivel mengambil alih kerusi presiden pada tahun 2012 iaitu tahun yang telah diputuskan untuk Samy berundur dari kepimpinan MIC.

Dalam hubungan ini, Sothinathan, 49, berkata, pada mulanya beliau beranggapan, Samy Vellu akan merestuinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden memandangkan 'persekitaran' itu telah dibayangkan oleh beliau sepanjang program penjenamaan semula MIC.

Tanpa menamakan mana-mana pemimpin, tegas Sothinathan, kebanyakan pemimpin kanan parti telah 'menjauhkan diri' daripada ibu pejabat parti sepanjang 18 bulan selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Tetapi mereka, katanya, hanya kembali apabila parti telah menyelesaikan proses penjenamaan semula dan musim pemilihan bermula.

Tambah bekas timbalan menteri itu, suasana juga berubah selepas Samy Vellu berjaya memenangi pemilihan Presiden MIC tanpa bertanding sebaik sahaja penamaan calon ditutup pada April lalu.

Dan Jun lalu, Samy Vellu telah menyatakan sokongannya secara terbuka kepada Palanivel selepas hubungan mereka dingin seketika selepas Mac 2008.

Malah, ketika itu Samy Vellu juga mengeluarkan kenyataan yang berbentuk sindiran ke atas Sothinathan dengan berkata, seharusnya beliau masuk gelanggang dengan bertanding jawatan presiden.

"Itu adalah cerita pada Mei 2009, bukannya sebelum itu. Perkara ini saya tidak bersetuju. Ini bukan satu proses sistem barter kerana saya perlu melakukan apa yang difikirkan baik untuk parti, dan apa yang terbaik untuk masyarakat.

"Saya tidak boleh melakukan perkara yang saya fikirkan hanya baik untuk diri saya, dan kemudiannya menjejaskan kepentingan komuniti dalam situasi yang disaksikan sekarang," kata Sothinathan yang merupakan pemegang ijazah sarjana muda kelas pertama jurusan Ekonomi (Pentadbiran Perniagaan) dari Universiti Malaya dan Ijazah Undang-undang dari University of London.

Jawatan Timbalan Presiden disaingi oleh Sothinathan, Palanivel dan bekas penyandang kerusi itu, Datuk S. Subramaniam.

Ketika ditanya mengapa tidak mencabar Samy Vellu pada April lalu, Sothinathan yang berkempen bersandarkan slogan "Undi Untuk Perubahan" menjelaskan, beliau tidak bertanding kerana yakin bahawa akan direstui untuk jawatan Timbalan Presiden yang diadakan dalam tempoh enam bulan selepas itu dan jika menang boleh menerajui parti kelak.

"Buat apa melawan beliau memandangkan beliau sendiri telah mengatakan akan melepaskan jawatannya selepas ini (selepas Perhimpunan Agung Tahunan kali ini), akan menyerahkan kepada pengganti... jadi, saya menanti," kata beliau sekali-sekala menjawab telefon dan SMS daripada perwakilan menjelang hari penentuan Sabtu ini.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan