Sentimen Anti-Malaysia: MSD Jakarta atur pertemuan antara badan pelajar Indonesia-Malaysia Jumaat ini

Diterbitkan: Rabu, 9 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Jakarta telah mengaturkan pertemuan di antara Badan Eksekutif Mahasiswa Indonesia dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia di Jakarta Jumaat ini bagi meredakan ketegangan yang tercetus di sekitar universiti Indonesia berikutan sentimen anti-Malaysia.

Pertemuan tersebut akan turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Kelab Umno Indonesia.

Pengarah MSD Jakarta, Dr Junaidy Abu Bakar berkata, selain daripada untuk mengenepikan sebarang syak-wasangka di antara pelajar, pertemuan yang diatur itu juga akan bertindak sebagai medium mencari jalan terbaik bagaimana kedua-dua belah pihak dapat membantu meredakan keadaan tegang yang tercetus ekoran sentimen anti-Malaysia yang dimainkan oleh kebanyakan stesen televisyen Indonesia setiap hari.

Bercakap kepada mStar Online ketika dihubungi di Jogjakarta petang ini, Dr Junaidy menjelaskan, terdapat hampir 5,900 pelajar Malaysia yang menuntut di pelbagai universiti di Indonesia iaitu dari Acheh sehinggalah ke Makasar.

Katanya, pihak MSD juga telah meminta kerjasama daripada Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia dan Kelab Umno Indonesia untuk bertindak sebagai pemantau.

Bagaimanapun beliau mengesahkan, sebuah kediaman penuntut perubatan Malaysia di Universiti Jogjakarta telah menjadi mangsa pertama sentimen anti-Malaysia apabila ia dilontarkan dengan batu.

Katanya, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dan pihak universiti serta polis tempatan telah memberikan kerjasama yang baik bagi mengawal keadaan.

Menurut Dr Junaidy, di Jogjakarta sahaja terdapat lebih kurang 400 orang penuntut Malaysia.

Ketika ditanya apakah langkah-langkah keselamatan yang telah diambil oleh MSD untuk melindungi penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidy berkata, mereka telahpun melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang mana semua penuntut telah diberi penerangan sama ada melalui badan pelajar Malaysia dan juga melalui khidmat pesanan ringkas (sms).

Antara lain katanya, para pelajar dinasihatkan tidak membalas sebarang provokasi daripada mana-mana badan atau individu yang menunjukkan sentimen anti-Malaysia; mengelak daripada berada di kawasan demonstrasi diadakan; mereka diminta segera merujuk kepada pihak berkuasa Malaysia atau tempatan sekiranya berlaku sesuatu insiden; mereka juga telah dibekalkan dengan nombor telefon kedutaan dan konsul general Malaysia di Indonesia termasuk no telefon bimbit para pegawai MSD.

Bagaimanapun selain insiden membaling batu di kediaman penuntut Malaysia di Jogjakarta, tiada sebarang insiden yang membabitkan rakyat atau penuntut Malaysia yang dilaporkan setakat ini.

“Hari ni, saya dan para pegawai MSD telah berkunjung ke Jogjakarta untuk bertemu dengan lebih 400 pelajar kita di sana dan juga mengadakan pertemuan dengan timbalan dekan sebuah fakulti di Universiti Jogjakarta di mana kediaman penuntut Malaysia yang dilontar batu itu belajar serta bertemu dengan ketua polis Jogjakarta bagi meredakan ketegangan yang berlaku.

“Sudah tentu insiden seperti ini sedikit sebanyak menakutkan penuntut kita tetapi saya beri jaminan keadaan adalah terkawal. Sentimen anti Malaysia ini sebenarnya dimainkan oleh 10 stesen televisyen Indonesia. Walaupun hanya lima orang mengadakan demo anti-Malaysia, mereka akan tetap menyiarkannya berulang kali,” kata Dr Junaidy lagi.

Beberapa kumpulan di Indonesia khususnya apa yang digelar Banteng Demokrasi Rakyat telah menunjukkan rasa marah mereka dengan melakukan demonstrasi di hadapan kedutaan Malaysia di Jakarta hampir setiap hari sejak beberapa minggu kebelakangan ini termasuk dengan membaling telur busuk minggu lalu selepas Malaysia dituduh mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali sebagai tarian Malaysia dalam satu program promosi yang disiarkan di saluran Discovery Channel.

Saluran itu bagaimanapun telah mengaku ia merupakan satu kesilapan dipihak mereka dan bukannya kesalahan kerajaan Malaysia.

Malaysia sebelum ini telah beberapa kali dituduh mencuri kebudayaan Indonesia termasuk tarian lagu barongan, batik, rasa sayang dan baru-baru ini, lagu kebangsaan.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan