Muhyiddin gesa perpaduan kaum dalam negara dipertahan

Diterbitkan: Rabu, 9 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Golongan muda khasnya para pelajar institusi pengajian tinggi diingatkan supaya tidak mengorbankan nilai-nilai perpaduan antara kaum dalam negara, yang merupakan asas kepada kestabilan dan pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata golongan itu yang merupakan generasi pewaris negara juga perlu belajar dan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969, yang memperlihatkan bagaimana perpecahan kaum menyebabkan berlakunya huru-hara dan ketakutan di kalangan rakyat.

"Ketika itu saya merupakan pelajar di Universiti Malaya dan tinggal di Kampung Baru. Saya sendiri menyaksikan peristiwa itu dan bagaimana takutnya (saya) melihat orang Cina dan orang Melayu bergaduh sesama sendiri," katanya ketika berucap pada perjumpaan dengan kira-kira 1,000 pemimpin mahasiwa dan mahasiswi universiti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamad, serta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kini sebagai seorang pemimpin, beliau masih berasa bimbang dan takut peristiwa serupa tercetus sekali lagi memandangkan sudah ada 'bunga-bunga' ketegangan dan perpecahan di antara kaum dalam negara, yang dicetuskan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di pihak yang lain.

"Sekarang kadang-kadang timbul pelbagai suara dalam negara yang menimbulkan rasa resah pihak-pihak tertentu, apabila ada pihak yang membangkitkan isuisu sensitif seperti soal kaum, fahaman ataupun agama.

Muhyiddin berkata jika perpecahan di kalangan kaum dalam negara berlaku sekali lagi, maka apa yang dibangunkan sejak selepas kemerdekaan akan hancur.

Beliau berkata oleh itu seluruh masyarakat harus benarbenar mempertahankan perpaduan antara kaum kerana asas pembangunan bangsa ialah perpaduan dan persefahaman antara kaum.

Katanya di atas kepentingan perpaduan antara kaum itulah yang mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia yang memberikan ruang dan peluang sama rata kepada semua kaum dalam negara.

Muhyiddin seterusnya menasihatkan mahasiswa dan mahasiswi agar bijak memilih dan menggunakan ilmu pengetahuan yang diperolehi, baik di universiti mahupun melalui sumber-sumber lain termasuk internet.

Beliau juga berharap golongan mahasiswa dan mahasiswi tidak mudah terpengaruh dengan dakyah politik yang cuba menanam benih kebencian dan mencetuskan huruhara yang banyak disebarkan di dalam internet.

Muhyiddin kemudiannya turut meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama-sama kirakira 2,000 tetamu termasuk mahasiswa dan mahasiswi, media dan badan-badan bukan kerajaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan