SPR tolak wujud ugutan terhadap pengundi pos

Diterbitkan: Selasa, 8 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak tuduhan beberapa parti politik berhubung tuduhan wujudnya ugutan atau tekanan terhadap pengundi pos di kalangan anggota tentera dan polis sehingga menyebabkan undi mereka berpihak kepada satu pihak sahaja.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tuduhan yang tidak berasas tanpa sebarang bukti-bukti sokongan.

"Saya tak nampak (kebenaran) jika mereka menuduh pengundi pos di kalangan anggota tentera dan polis (diugut) kerana mereka juga mengundi seperti pengundi biasa.

"Tak ada sesiapa yang menekan mereka... mereka mengundi macam orang biasa, undi mereka juga tetap rahsia, hanya mereka yang tahu siapa yang mereka pangkah (undi) dan prosesnya juga sama seperti pengundi biasa pada hari pengundian umum.

"Cuma mereka mengundi lebih awal, namun kertas undi yang mereka masukkan ke dalam karung undi pos hanya akan dibuka untuk dikira selepas tamatnya proses mengundi," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan beberapa pemimpin parti politik yang meragui ketelusan undi pos terutama di kalangan anggota tentera dan polis.

Malah Wan Omar juga menyifatkan keraguan berkenaan timbul kerana pemimpin-pemimpin berkenaan mengeluarkan pandangan berdasarkan andaian mereka semata-mata.

Jelas beliau tuduhan dan andaian seperti ini sepatutnya tidak timbul kerana ia boleh mencetuskan perasaan curiga di kalangan rakyat terhadap proses pilihan raya di negara ini.

"Perkara ini timbul kerana pemimpin-pemimpin berkenaan membuat andaian semata-mata kerana proses pengundian mereka (pengundi pos) dibuat melalui kaedah biasa, malah wakil setiap parti juga dibenarkan untuk memantau proses pengundian berlangsung.

"Kita sudah beberapa kali berbincang dengan pemimpin-pemimpin parti politik dan menjelaskan kepada mereka, jadi mereka tak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh timbulkan kecurigaan," katanya.

Isu keraguan undi pos dibangkitkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin berkenaan berkata Pakatan Rakyat akan memberi perhatian terhadap undi pos yang telah memenangkan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Kerusi DUN Bagan Pinang kini kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor Jumaat lepas di Hospital Pakar Seremban akibat jangkitan dalam darah.

Azman, 54, yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Teluk Kemang, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lepas mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Tambah Wan Ahmad, pemimpin parti politik tidak seharusnya meragui ketelusan proses undi pos kerana semua proses yang dijalankan adalah berpandukan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

"Kita bukan lakukan prosesnya dengan sewenang-wenangnya, semuanya mengikut undang-undang yang sah.

"Saya nasihatkan supaya keraguan yang berbentuk andaian seperti ini tidak lagi dibangkitkan," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan