Pemilihan Tim. Presiden MIC: Akan berlakukah kejutan Sabtu ini?

Diterbitkan: Selasa, 8 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TIGA calon jawatan Timbalan Presiden (dari kiri) Datuk G. Palanivel, Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Subramaniam pada hari penamaan calon 22 Ogos lalu. Siapa pemenang bakal diketahui Sabtu ini.
TIGA calon jawatan Timbalan Presiden (dari kiri) Datuk G. Palanivel, Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Subramaniam pada hari penamaan calon 22 Ogos lalu. Siapa pemenang bakal diketahui Sabtu ini.

KUALA LUMPUR: MESKIPUN pemilihan peringkat tertinggi MIC Sabtu ini melibatkan tiga peringkat,tetapi tumpuan lebih memfokus calon yang bakal melepasi garisan kemenangan kerusi Timbalan Presiden.

Kali ini, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan persaingan antara penyandang, Datuk G. Palanivel; bekas Timbalan Presiden, Datuk S. Subramaniam dan Naib Presiden, Datuk S. Sothinathan.

Palanivel yang menewaskan Subramaniam tiga tahun lalu kini sudah tentunya akan bekerja keras mempertahankan kedudukannya buat penggal kedua.

Subramaniam, Timbalan Presiden MIC yang paling lama memegang jawatan itu, sehingga ditewaskan tiga tahun lalu, pula berhasrat untuk meneruskan nafasnya dalam arena politik nasional MIC dengan mencuba lagi kali ini.

Sothinathan pula melihat MIC memerlukan suntikan baru dengan kepimpinan muda bagi mengembalikan kecergasan parti komponen Barisan Nasional (BN) ini. Justeru, beliau melihat faktor ini sebagai kelebihan buat dirinya.

Ketiga-tiga mereka tiada jawatan dalam kerajaan buat masa sekarang. Subramaniam tidak diberikan tiket untuk bertanding pilihan raya umum lalu. Palanivel tewas di Hulu Selangor. Begitu juga Sothinathan di Telok Kemang. Kekalahan mereka menyebabkan mereka turut kehilangan jawatan mereka dalam kerajaan sebagai timbalan menteri. Subramaniam juga merupakan bekas timbalan menteri sehingga tahun 2004.

Dua tahun kemudian Subramaniam tewas kepada Palanivel.

Di peringkat pemilihan parti kali ini, ketiga-tiga pemimpin ini berkempen bersandarkan mahu membawa perubahan. Perubahan mengikut pendekatan masing-masing.

Di kalangan ketiga-tiga calon ini, Palanivel, yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri S. Samy Vellu nampaknya menjadi calon pilihan Presiden MIC itu. Walaupun sejak dua tahun lalu hubungan mereka dikatakan dingin khususnya sejak selepas pilihan raya umum Mac 2008, tetapi Palanivel berjaya menawan kembali hati dan sokongan Samy Vellu.

Kelebihan ini pernah dinikmatinya pada 2006 untuk menewaskan Subramaniam. Hubungannya dengan Samy Vellu dikatakan kembali pulih sejak awal tahun ini dan keistimewaan ini telah mencergaskan semula perjalanan politiknya dalam MIC.

Dalam politik patronage ini sudah tentulah menjadi kelebihan buat Palanivel yang pernah menyandang jawatan Naib Presiden selepas dilantik sebagai Bendahari Agung.

Selepas menerajui MIC sepanjang tiga dekad, Samy Vellu yang berjaya mempertahankan kedudukannya tanpa bertanding masih mempunyai satu pertiga sokongan perwakilan yang akan mengundi mana-mana calon yang direstui beliau.

Justeru mana-mana calon yang ingin merebut apa jua jawatan dalam MIC perlu mengambil kira 'kelebihan' ini. Pun begitu teori ini pernah dinafikan pada pemilihan 1987, sekali gus membawa kepada perpecahan dalam parti itu dan tindakan balas ke atas pihak-pihak yang tidak menyokong calon yang direstui Samy Vellu.

Ini termasuklah pemecatan mendiang Tan Sri M.G. Pandithan daripada MIC atas alasan disiplin.

Perkembangan senario politik dalam MIC sejak 1987-89 telah memperkukuhkan kedudukan Samy Vellu, walaupun pada hakikatnya sokongan kepada beliau mula terhakis sejak Mac 2008.

SOKONGAN TIDAK MENENTU SAMY

Pada ketika hubungan dingin Palanivel-Samy Vellu berlaku, Sothinathan telah mengiringi Presiden parti dalam melaksanakan program penjenamaan semula MIC setelah parti itu memperlihatkan prestasi paling buruk pada pilihan raya umum Mac 2008.

Sothinathan telah menggunakan masa lapangnya (selepas tiada jawatan dalam kerajaan) bersama Samy Vellu, yang turut tewas pada Mac 2008, untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap MIC.

Di sepanjang perjalanan program penjenamaan semula ini, Sothinathan khabarnya telah diyakinkan bahawa beliau akan direstui, diperakui dan diiktiraf oleh Samy Vellu untuk bertanding jawatan nombor dua.

Beliau juga dikatakan teruja dengan sokongan secara langsung dan tidak langsung daripada akar umbi MIC yang semakin meningkat ke arah pemilihan tahun ini.

Sehingga Mei lalu, Sothinathan masih meletakkan keyakinan sedemikian rupa. Malangnya situasi telah berubah secara tiba-tiba apabila Palanivel kembali mendapat kepercayaan Samy.

Pada masa yang sama, Subramaniam turut melihat bahawa Samy Vellu akan memberikan sokongan secara tidak langsung kepada beliau dengan tidak menyebelahi mana-mana calon pada pemilihan kali ini.

Ini kerana, Subramaniam dan Samy Vellu yang merupakan musuh politik sejak 1970-an, berbaik semula selepas pilihan raya umum 2008.

Mereka bersemuka julung kali selepas pemilihan 2006 untuk melupakan pengalaman pahit silam demi menyatupadukan masyarakat India yang beralih kepada pembangkang pada Mac 2008. Kedua-dua mereka membuat kenyataan terbuka mengenai perkara ini.

Subramaniam menduduki kerusi nombor dua parti sejak 1981 sehingga dikalahkan Palanivel pada 2006 dengan 438 undi. Beliau berdepan Palanivel buat kali kedua dalam usahanya untuk memenangi kembali jawatan Timbalan Presiden dengan harapan dapat menggantikan Presiden parti yang merancang untuk bersara pada 2012.

Malangnya, anggapan beliau bahawa Samy tidak akan memihak kepada mana-mana calon Timbalan juga meleset. Oleh itu, Subramaniam terpaksa berhadapan dengan halangan besar - sokongan terbuka Samy Vellu kepada Palanivel.

Dan untuk menambah parahkan lagi situasi ini, Samy Vellu telah melabelkan Subramaniam sebagai menikam beliau dari belakang. Skrip yang sama digunakan pada tahun 2006.

Tetapi kali ini kata beliau, Subramaniam tidak memegang janji, sebaliknya menggunakan isu Maika Holdings untuk 'ugut' agar tidak menyokong mana-mana calon dalam pemilihan parti.

Malah pemerhati politik beranggapan bahawa saingan membabitkan ketiga-tiga calon ini sudah pasti akan sengit dan terbuka jika Samy Vellu mengambil sikap berkecuali. Dan, ia akan memudahkan perwakilan membuat pemilihan.

Semasa hari penamaan calon jawatan Presiden April lalu, ketiga-tiga calon Timbalan Presiden ini mempersembahkan kalungan bunga kepada Samy Vellu selepas diisytiharkan menang.

Malah, Palanivel, Subramaniam dan Sothinathan menyatakan sokongan pencalonan untuk Samy Vellu yang menang tanpa bertanding.

Mereka tidak menentang Samy Vellu ketika itu. Pastinya jika mereka melawan Samy Vellu, sudah tentu ia satu laluan sukar - sengaja mencari nahas politik. Justeru mereka telah mengelak daripada terjebak dalam situasi itu.

Beberapa minggu kemudian Samy Vellu muncul bersama Palanivel di pentas majlis umum, dipercayai kali pertama selepas Mac 2008.

Ini petanda rasmi yang Samy Vellu sudah memulakan langkah untuk mengiktiraf semula Palanivel.

Pada Mei lalu, Samy Vellu meluahkan perasaan tidak senang dengan Sothinathan.

SIAPA JUARA

Juara saingan jawatan Timbalan Presiden Sabtu ini sangat penting kerana siapa yang menang berpeluang untuk mengambil alih pucuk kepimpinan parti menjelang tahun 2012.

Apa yang pasti ialah masa depan politik Palanivel, Subramaniam dan Sothinathan bakal ditentukan oleh 1,464 perwakilan minggu ini.

Bulan lalu, Palanivel membidas Subramaniam yang melabel beliau hanya berupa bayang-bayang kepada Samy Vellu. Palanivel, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempertahankan dirinya dengan berkata, ahli politik yang memainkan peranan sebagai bayang-bayang akhirnya akan muncul untuk membayangi yang lain.

Subramaniam beranggapan seseorang timbalan presiden parti perlu memainkan peranan yang positif kepada parti, masyarakat dan negara dan timbalan tidak boleh berlindung di sebalik kepimpinan Presiden parti, yang dirujuk kepada Samy Vellu.

Di satu sudut, sikap dan pendirian perwakilan tidak lagi sama seperti dekad-dekad sebelum ini.

Walaupun Samy Vellu turut berkempen dengan menghubungi perwakilan secara peribadi, perwakilan-perwakilan teras sudah membuat keputusan tentang calon yang mereka hendak sokong. Terdapat 20 hingga 25 peratus perwakilan atas pagar yang akan membuat keputusan pada saat-saat terakhir.

Kira-kira 40 peratus perwakilan dikatakan berusia di bawah 50 tahun. Mereka ini dianggap sebagai golongan 'muda' yang bakal memberikan sokongan kepada calon muda dalam menentukan arah aliran undi pada Sabtu ini.

Tiga tahun lalu, dengan sokongan padu Samy Vellu di tangan, pemenang jawatan Timbalan Presiden - Palanivel - sudah diketahui seminggu lebih awal. Tetapi hari ini bayangan masih belum kelihatan walaupun Palanivel nampaknya ada kelebihan dan dengan penuh yakin mengatakan 63% perwakilan berada di belakangnya.

Sanggupkah perwakilan berani melawan arus dengan mengenepikan barisan kepimpinan Samy Vellu? Jika ini berlaku, bermakna kejutan boleh disaksikan Sabtu ini.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan