Inisiatif Mufors bantu tingkatkan keselamatan di jalan raya

Diterbitkan: Selasa, 8 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia kini boleh memainkan peranan yang lebih besar dan tersendiri dalam meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya melalui penyertaan dalam inisiatif "Rakyat Malaysia Bersatu untuk Keselamatan Jalan Raya" (MUFORS).

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor ketika melancarkan inisiatif itu Selasa berkata MUFORS merupakan projek kemasyarakatan yang memberi kuasa kepada rakyat Malaysia untuk memberikan pendapat dan pandangan mereka tentang keselamatan jalan raya di negara ini.

Laman web www.090909.org.my menjadi platform bagi setiap individu untuk berfikir tentang langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil untuk meningkatkan keselamatan dan menyelamatkan nyawa, katanya.

"Inisiatif ini adalah inisiatif semua rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia dan untuk rakyat Malaysia," katanya pada majlis pelancaran MUFORS di Restoran Jejantas Sungai Buloh dekat sini.

Melalui inisiatif itu, rakyat Malaysia berpeluang menyokong langkah-langkah kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan menyelamatkan nyawa selain bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang dianjurkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.

Sehubungan itu, Shaziman menggesa rakyat negara ini memberikan sokongan padu terhadap inisiatif MUFORS kerana tiada siapapun yang terkecuali daripada isu keselamatan di jalan raya.

"Janganlah berfikir 'ia tidak akan berlaku kepada diri saya' atau lebih teruk lagi semua orang melakukannya, mengapa tidak saya, kerana satu hari kelak, kita mungkin kehilangan orang yang tersayang akibat kecuaian atau tabiat pemanduan yang buruk di jalan raya," katanya.

"Sempena Hari Keselamatan Jalan Raya MUFORS pada 9 Sept 2009 iaitu esok, marilah kita berikrar untuk menjadi pengguna jalan raya yang lebih bertanggungjawab, lebih prihatin dengan mencari jawapan kepada satu soalan yang mungkin akan membawa perubahan yang begitu bermakna dalam hidup kita dan juga rakyat Malaysia yang lain iaitu `Apakah yang dapat kita lakukan sebagai individu untuk menyumbang kepada keselamatan jalan raya serta menyelamatkan nyawa?" katanya lagi.

Shaziman berkata keselamatan jalan raya dan isu-isu yang berkaitan dengannya sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan serta agensi yang terlibat secara langsung, dan bagi menanganinya, pelbagai kempen yang menelan belanja besar telah dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau berkata penglibatan orang ramai secara individu adalah antara pendekatan yang paling berkesan bagi meningkatkan kesedaran dan keselamatan jalan raya dan seterusnya mengurangkan kadar kemalangan.

Shaziman juga berkata inisiatif itu juga amat bermakna dan tepat pada masanya kerana statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya menunjukkan bahawa secara purata, berlaku 18 kematian di jalan raya setiap hari.

"Angka yang tinggi ini bukan sahaja mendatangkan kerugian kepada keluarga, tetapi juga negara di mana negara kehilangan bakat, kemahiran, tenaga kerja dan lain-lain lagi," kata beliau.

Sementara itu, pengerusi MUFORS Noorizah Abdul Hamid berkata sejak dimulakan pada 18 Ogos lepas, lebih 186,000 rakyat Malaysia menyertainya.

"Penyertaan mereka dalam inisiatif ini adalah dalam bentuk ikrar, komen, cadangan, berkongsi pengalaman, undian online, facebook, blog dan penyertaan pada pameran bergerak dan promosi," katanya.

Katanya MUFORS turut disokong oleh PLUS Expressways, Kementerian Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Kumpulan UEM, New Straits Times, Bernama, TV3, The Star dan Sepang International Circuit. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan