SPR mesyuarat Isnin depan tentukan tarikh pilihan raya Bagan Pinang - Berita Semasa | mStar

SPR mesyuarat Isnin depan tentukan tarikh pilihan raya Bagan Pinang

Diterbitkan: Isnin, 7 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Isnin depan dan mengumumkan tarikh bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada hari yang sama.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau kini masih menunggu surat memaklumkan tentang kekosongan kerusi DUN itu daripada Speaker DUN Negeri Sembilan.

"Saya menjangkakan surat itu dihantar pada hari ini tapi setakat pagi ini, saya belum lagi menerima apa-apa surat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Azman, 54, yang mewakili Barisan Nasional menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Ditanya tentang kemungkinan pilihan raya kecil itu diadakan selepas Perhimpunan Agung Khas Umno pada 13 hingga 16 Okt ini, beliau berkata ia masih dalam pertimbangan.

"Memandangkan banyak peristiwa penting berlaku bulan depan, jadi perkara itu akan menjadi agenda utama yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu nanti," kata Abdul Aziz. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan