Peserta demonstrasi kepala lembu akan didakwa - Peguam Negara

Diterbitkan: Isnin, 7 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, terdapat bukti yang cukup untuk mendakwa mereka yang menyertai demonstrasi kepala lembu di Shah Alam, baru-baru ini.

"Saya telah membuat keputusan untuk mendakwa mereka yang membawa dan bercakap sambil memijak kepala lembu di bawah Seksyen 4 (1), Akta Hasutan dan Seksyen 298, Kanun Keseksaaan.

"Mereka dan juga peserta demonstrasi lain akan menghadapi tuduhan lain di bawah Seksyen 27 (5), Akta Polis kerana mengadakan perhimpunan haram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Gani berkata, pihak polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung perkara itu kepada beliau sendiri tengah hari tadi dan beliau berpuas hati, berdasarkan fakta dan bukti yang dikumpulkan pihak polis, peserta demonstrasi tersebut perlu dihadapkan ke mahkamah.

Penduduk Seksyen 23 di Shah Alam telah mengadakan demonstrasi baru-baru ini berikutan keputusan kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat untuk memindahkan kuil berusia 150 tahun dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang majoritinya adalah kaum Melayu.

Semasa demonstrasi itu, salah seorang daripada mereka telah membawa dan memijak kepala lembu.

Hari ini, kerajaan negeri memberitahu, tapak alternatif bagi pemindahan kuil tersebut telah pun dikenal pasti.

Tindakan yang dilakukan ketika demonstrasi itu telah mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk orang awam kerana disifatkan menghina sensitiviti agama.

Penduduk kawasan tersebut bagaimanapun telah membuat laporan polis dengan mengatakan perarakan kepala lembu itu melambangkan "kebodohan kerajaan" dan tidak bermaksud untuk menghina agama lain.

Kebimbangan terhadap isu itu yang menyentuh sensitiviti agama menyebabkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak mengarahkan portal berita, Malaysiakini mengeluarkan rakaman video berhubung demonstrasi itu berikutan aduan yang diterima daripada pelbagai pihak.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau menyerahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan sekiranya tindakan itu menyalahi undang-undang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan