DUN Bagan Pinang: SPR terima notis kekosongan petang tadi

Diterbitkan: Isnin, 7 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima surat rasmi makluman kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan petang tadi, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

"Saya sudah menerima surat makluman pukul 2.45 petang tadi... bersama sijil kematian wakil rakyat Bagan Pinang," kata beliau ketika dihubungi petang tadi.

"Surat telah dihantar sendiri oleh pejabat Speaker," kata beliau.

Sehubungan itu, menurut beliau, SPR telah menetapkan 14 September ini sebagai tarikh untuk mengadakan mesyuarat khas menentukan tarikh pilihan raya kecil kerusi tersebut yang kosong sejak Jumaat lalu.

Mesyuarat khas perlu diadakan dalam tempoh 10 hari selepas SPR menganggap wujudnya kekosongan.

Pilihan raya kecil pula perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ia merupakan pilihan raya kecil yang kesembilan sejak selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Aziz menjelaskan, pihaknya akan mempertimbangkan pelbagai perkembangan mulai sekarang dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil ini.

Ia termasuklah sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini, Deepavali pertengahan bulan depan, Perhimpunan Agung Umno 2009 minggu kedua Oktober dan sidang Dewan Rakyat.

"Tarikh-tarikh ini akan kita timbangkan dalam mesyuarat Isnin ini," katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Azman, 54, yang mewakili Barisan Nasional menang dengan undi 6,430.

Beliau menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan