DUN Bagan Pinang: Kamilia mahu calon wanita diberi peluang

Diterbitkan: Isnin, 7 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Pergerakan Wanita Umno meminta pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) menimbang untuk meletakkan calon wanita pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Naib Ketuanya Datuk Kamelia Ibrahim berkata calon wanita perlu diberi peluang selepas kesemua pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum lepas menampilkan calon lelaki.

"Perlu difikirkan calon wanita, kalau boleh kita naklah mengemukakan calon wanita kerana tujuh pilihan raya kecil (yang ditandingi BN) sebelum ini semuanya calon lelaki," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Nur Hidayah di sini semalam.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan yang juga Anggota Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Kamelia berkata pemilihan calon daripada kalangan wanita juga selari dengan perjuangan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam menempatkan 30 peratus golongan wanita sebagai pembuat keputusan.

Malah, katanya terdapat ramai pemimpin wanita di peringkat negeri dan bahagian di Negeri Sembilan yang berwibawa dan layak bertanding bagi kerusi itu.

"Kalau diberi peluang, saya pasti kita boleh cari calon wanita yang berwibawa, pasti ada," katanya.

Mengenai persiapan jentera pergerakan itu, Kamelia berkata Wanita Umno akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi menyusun strategi baru dalam mengekalkan kerusi DUN berkenaan.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor pada Jumaat lepas di Hospital Pakar Seremban akibat jangkitan dalam darah. Azman, 54, yang juga Naib Ketua Umno bahagian Teluk Kemang, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lepas mengalahkan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Sementara itu, Ahmad Shabery yakin BN mampu mengekalkan kerusi DUN tersebut berdasarkan prestasi BN kini yang dilihat semakin stabil.

Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata prestasi BN pada pilihan raya kecil sebelum ini agak menurun kerana bertanding di kawasan kuat pembangkang namun sokongan pengundi mula kembali kepada BN.

"Kalau dilihat di Manek Urai, telah ada perubahan besar di kalangan pengundi di sana untuk datang kepada BN walaupun tempat itu menjadi kubu kuat PAS, jadi kita tengok keadaannya agak stabil," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan