Bantahan cadangan pemindahan kuil langkaui pertimbangan politik - Hishammuddin

Diterbitkan: Isnin, 7 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Anggota pelbagai parti politik dikenal pasti terbabit dalam isu bantahan cadangan pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kementeriannya telah pun melakukan siasatan mengenai perkara itu dan bersedia mendedahkan maklumat mengenainya pada suatu masa yang difikirkan sesuai.

"Kita tahu berapa ramai anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan Barisan Nasional (BN) yang terbabit dalam protes itu. Kita mempunyai maklumat itu dan bersedia mendedahkannya pada masa yang sesuai.

"Ini menunjukkan protes itu melangkaui sebarang pertimbangan politik. Ia adalah isu setempat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Melayu Niyor, di sini semalam.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kekecohan yang berlaku pada majlis dialog di antara penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan Menteri Besar Selangor Datuk Khalid Ibrahim berkenaan isu pemindahan kuil itu kelmarin.

Berikutan kekecohan itu, kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh pakatan pembangkang membatalkan cadangan untuk memindahkan kuil terbabit ke Seksyen 23 Shah Alam yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Hishammuddin berkata kerajaan negeri Selangor ketika dipimpin oleh BN berusaha untuk menyelesaikan isu tersebut dengan menawarkan suatu tempat untuk memindahkan kuil terbabit, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana didakwa terlalu jauh.

Bagaimanapun, apabila kerajaan Selangor kini dipimpin oleh pakatan pembangkang, mereka telah memutuskan untuk memindahkan kuil terbabit ke Seksyen 23 yang 80 peratus daripada penduduknya beragama Islam, kata beliau.

"Kerajaan Selangor tidak boleh menyalahkan Barisan Nasional, kerana kita telah berusaha untuk menyelesaikan perkara itu. Merekalah (kerajaan Selangor) yang harus dipersalahkan," katanya.

Hishammuddin berkata kerajaan Selangor telah gagal untuk meminta pandangan daripada penduduk di Seksyen 23 Shah Alam berhubung cadangan untuk memindahkan kuil terbabit ke kawasan mereka.

"Kita juga mempunyai maklumat berapa kali mereka (kerajaan Selangor) berdialog dengan penduduk sebelum mengemukakan cadangan pemindahan kuil itu ke Seksyen 23," katanya.

Malah, kata beliau, kegagalan pihak kerajaan negeri mengadakan dialog dengan penduduk Seksyen 23 sebelum ini turut menyumbang kepada kekecohan yang berlaku kelmarin.

Walaupun menyifatkan protes penduduk itu sebagai wajar, tetapi beliau berkata pihak berkuasa tetap akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam kejadian mengarak kepala lembu, haiwan yang dianggap suci bagi penganut agama Hindu.

Katanya polis telah menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Pejabat Peguam Negara berhubung kejadian mengarak kepala lembu yang berlaku ketika protes penduduk Seksyen 23 Shah Alam dalam isu pemindahan kuil itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan