EGM bukan luar biasa bagi MCA, kata Ong

Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata mesyuarat agung luar biasa (EGM) bukan sesuatu yang asing bagi parti itu yang pernah menggunakannya untuk menyelesaikan masalah berbangkit sebelum ini.

Katanya beliau bukan orang pertama mengarahkan EGM diadakan kerana ia juga langkah yang diambil presiden terdahulu dalam menyelesaikan isu yang melanda parti berkenaan.

"Dulu atas isu-isu lain pun ia (EGM) pernah dibuat, bukan tidak pernah buat. Sebelum saya pegang jawatan inipun, mantan Presiden pernah buat juga," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin MCA Kelantan di sini, semalam.

Tanpa mahu mengulas lanjut, beliau berkata pertemuan dengan pemimpin akar umbi MCA negeri itu sebagai politik dalaman yang bertujuan menjelaskan isu semasa yang melanda parti itu.

Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, turut tidak mahu bercakap banyak ketika ditanya adakah EGM satu-satunya cara yang dapat menyelesaikan kemelut terbaru yang berlaku dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya itu.

"Saya tak perlu jawab. Itu saja yang akan saya jawab hari ini. Lain-lain tu, saya akan buat dalam blog saya. Bila saya nak rasa nak jawab, saya jawab," katanya.

Beliau sebelum ini mengarahkan setiausaha agung parti, Senator Datuk Wong Foon Meng untuk mengadakan EGM seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 30.1 perlembagaan parti.

EGM itu membolehkan anggota MCA menyuarakan pendapat mereka berhubung beberapa keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti kebelakangan ini.

Menerusi EGM, kata beliau, semua ahli MCA akan diberi peluang memberikan pendapat mereka tentang beberapa perkara antaranya usaha pembaharuan parti, kes disiplin Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ketika ditanya berhubung dakwaan penggunaan pesawat khas Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebanyak lima kali oleh Ketua Eksekutif syarikat berkenaan, Datuk Seri Tiong King Sing beliau hanya berkata: "Lain kali saya nak beri nasihat, kalau ada orang yang tawarkan untuk beri kita tumpang, kena hatihatilah. Tanyalah dulu," katanya.

KDSB merupakan pemaju siap guna PKFZ yang kini sedang disiasat oleh Jawatankuasa KiraKira Wang Negara (PAC) berhubung skandal PKFZ. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan