TKP - Persepsi dan tuduhan negatif ke atas SPRM hanya akan jejaskan siasatan

Diterbitkan: Khamis, 3 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, masyarakat perlu sedar akan hakikat bahawa bukanlah mudah untuk menguruskan sebuah agensi seperti SPRM yang berhadapan dengan pelbagai macam cabaran dan halangan malah persepsi yang mengatakan mereka sewenang-wenangnya menutup sesuatu kes itu adalah merupakan satu persepsi yang salah.

Ini kerana katanya, SPRM sentiasa dipantau oleh lima buah jawatankuasa bebas yang boleh mengarahkan SPRM membuka semula sesuatu kes sekiranya jawatankuasa ini tidak berpuashati dengan penjelasan mengapa sesuatu kes itu ditutup.

“Masyarakat perlu tahu bahawa terdapat lima jawatankuasa yang memantau kerja-kerja SPRM. Misalnya, apabila kita memutuskan untuk menutup sesuatu kes kita perlu terlebih dahulu membentangkan cadangan itu kepada Jawatankuasa Penilai Operasi dan menjelaskan kepada jawatankuasa ini kenapa SPRM terpaksa menutup sesuatu kes itu. Jika Jawatankuasa ini tidak puashati, ia boleh meminta SPRM untuk melihat kembali kes tersebut.

“Jika ini diambil kira maka SPRM hari ini lebih terbuka dan bertanggungjawab kepada umum,” ujarnya dalam temubual secara langsung menerusi webtv akhbar The Star semalam.

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan bagaimanakah SPRM boleh menjadi lebih terbuka dan bertanggungjawab kepada awam.

Menurut Abu Kassim, persepsi awam terhadap SPRM menjadi rosak kerana terlalu banyak komen negatif dilontarkan kepada agensi itu dan akibat yang lebih buruk ialah, komen-komen negatif ini hanya menakutkan saksi untuk tampil ke hadapan dan ini sekaligus boleh menjejaskan penyiasatan ke atas sesuatu kes.

Katanya lagi, adalah menjadi polisi SPRM untuk menjalankan sesuatu penyiasatan itu secara low profile tetapi kadang kala pihak yang disiasat itu yang membocorkan perkara ini kepada pihak media lebih-lebih lagi yang melibatkan sesuatu organisasi politik.

Dalam hubungan ini beliau menjelaskan, siasatan SPRM sebenarnya tidak memilih bulu malah buta warna.

“Saya ingin membiarkan fakta yang berada di hadapan kita bercakap bagi pihak SPRM bukan saya. Sehingga Jun tahun ini, SPRM telah menyiasat 27 ahli politik yang mewakili Barisan Nasional dan empat dari Pakatan Rakyat. Kita telah menjalankan pendakwaan ke atas tujuh orang yang kesemuanya Melayu dan semuanya dari Barisan Nasional.

"Kami adalah buta warna. Kami bertindak berasaskan aduan dan bahan bukti dan ramai yang kami siasat melibatkan bangsa Melayu kerana mereka adalah majoriti dalam perkhidmatan awam,” katanya menjawab dakwaan apakah benar SPRM memilih bulu dan bersikap berat sebelah dalam mengendalikan siasatan mereka.

Kepada soalan berkaitan keselamatan tahanan ataupun saksi yang berada di bawah tahanan SPRM, Abu Kassim mengakui kes Teoh Beng Hock telah menjadi satu pengajaran yang sangat berguna kepada mereka.

Katanya, apa yang penting sekarang ialah untuk memantau dan mengawasi orang yang keluar-masuk ke premis SPRM dan dalam hubungan ini langkah-langkah keselamatan seperti meletakkan CCTV sedang dilakukan di semua premis SPRM.

Kepada satu soalan berkaitan usaha-usaha untuk mengurangkan rasuah, Abu Kassim menjawab, selagi semua pihak bekerjasama dalam memastikan peluang untuk melakukan rasuah diminimakan, usaha tersebut boleh dicapai.

“Kita dapat melihat apabila JPJ dan Imigresen memperkenalkan konsep baru yang lebih mudah dan pantas untuk memperbaharui lesen, cukai jalan dan paspot, dengan sendirinya mereka menghapuskan aktiviti orang tengah yang menjadi runner.

"Apabila kerja-kerja seperti memperbaharui lesen, cukai jalan dan paspot menjadi susah, orang-ramai akan mencari jalan mudah iaitu pergi kepada runner. Ini membuka peluang kepada amalan rasuah kerana runner juga hendak cepat. Tetapi sebaik sahaja proses itu menjadi mudah, peluang untuk menyuap rasuah pun dengan sendirinya terhapus kerana peranan runner tidak lagi diperlukan. Inilah yang kita ingin lihat berlaku di agensi-agensi yang lain,” jelas Abu Kassim.

Berkaitan dakwaan SPRM bukanlah sebuah badan yang benar-benar bebas, Abu Kassim memberitahu, SPRM bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen dan juga rakyat Malaysia.

Katanya, rakyat perlu tahu bahawa empat lembaga penasihat SPRM yang merupakan badan bebas setiap tahun akan mengemukakan laporan tahunan mereka kepada sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai oleh wakil-wakil parti yang memerintah dan juga pembangkang.

Tambah Abu Kassim, jawatankuasa khas ini boleh memanggil SPRM dan menyoal SPRM mana-mana bahagian dalam laporan tahunan itu yang mereka tidak puashati atau merasa sangsi.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan