'Sidang' DUN Perak di hotel lulus tiga usul

Diterbitkan: Rabu, 2 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Anggota Dewan Undangan Negeri Perak daripada pakatan pembangkang hari ini mengadakan satu mesyuarat menyerupai persidangan dewan itu di Hotel Heritage di sini dan "meluluskan tiga usul."

Usul-usul itu ialah untuk mengesahkan laporan 'Jawatankuasa Hak dan Kebebasan' yang bertarikh 27 Julai 2009 dan 12 Ogos 2009; pelantikan anggota bagi tiga jawatankuasa bagi penggal yang baru iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap; dan usul tergempar mengutuk tindakan polis yang didakwa menggunakan kekerasan bagi menghalang anggota dewan daripada pakatan pembangkang daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi mengadakan persidangan itu.

Mesyuarat itu, yang berlangsung selama dua jam mulai 11.45 pagi, dihadiri kesemua 24 Adun pakatan pembangkang kecuali tiga orang Adun yang ditahan polis pagi tadi dan Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah, yang sedang mengerjakan ibadah umrah.

Persidangan itu turut menyediakan susunan tempat duduk Adun Barisan Nasional di sebelah kiri 'Speaker' manakala Adun DAP, Pas dan PKR duduk di "pihak kerajaan yang memerintah" di kanan 'Speaker'.

Persidangan yang dipengerusikan oleh Adun Tronoh, S.Sivakumar, membincangkan usul pertama yang dibawa oleh Adun Changkat Jong, Mohd Anuar Sudin, usul kedua oleh Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, manakala usul tergempar dibawa oleh Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming. Mesyuarat itu kemudiannya ditangguhkan pada 1.37 petang.

Usul pertama yang dibawa Mohd Anuar mahu persidangan itu meluluskan laporan 'Jawatankuasa Hak dan Kebebasan' yang dilantik oleh pakatan pembangkang itu yang telah membuat ketetapan antaranya menggantung Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selama tiga bulan daripada menghadiri sidang DUN dan didenda RM250,000 dengan alasan Zambry telah menghadiri sidang DUN pada 7 Mei lepas walaupun telah digantung sebelum itu.

Selain Zambry, jawatankuasa itu turut menggantung Exco Kanan Datuk Hamidah Osman yang juga Adun Sungai Rapat bagi tempoh yang sama serta didenda dengan nilai yang sama. Timbalan Speaker Hee Yit Foong pula dicadang untuk dipenjarakan selama enam bulan dan didenda RM500,000.

Pada 27 Julai 2009, jawatankuasa itu mengesyorkan supaya Speaker DUN, Datuk R.Ganesan dihukum penjara enam bulan atau didenda RM500,000 kerana memegang jawatan Speaker secara tidak sah sewaktu persidangan DUN Perak pada 7 Mei lepas.

Usul yang dibawa oleh Mohammad Nizar diluluskan tanpa dibahas manakala usul tergempar oleh Nga dibahas oleh empat orang Adun sebelum diluluskan.

Persidangan yang dipanggil oleh Sivakumar itu diadakan di situ selepas polis menghalang beliau dan 26 Adun pembangkang daripada memasuki Dewan Negeri yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi Rabu.

Pada sidang akhbar kemudian, Mohammad Nizar yang ditanya sama ada Adun pembangkang akan hadir pada persidangan yang dipanggil oleh Speaker Datuk R.Ganesan kelak, berkata Ganesan tidak mempunyai hak untuk memanggil persidangan itu.

"Jadi notis memanggil sidang DUN itu adalah tidak sah," katanya. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

BERIKUT adalah perkembangan situasi di "Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)" Perak yang didakwa oleh Pakatan Rakyat negeri itu akan diadakan di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh hari ini.

1.37 petang: Sidang DUN itu ditangguhkan oleh Sivakumar selepas menerima cadangan daripada Mohammad Nizar.

11.45 pagi: 'Sidang Dewan' bermula dengan kemasukan Sivakumar ke dalam 'dewan' yang sebenarnya merupakan sebuah bilik majlis di hotel. Sivakumar kini sedang mempengerusikan 'sidang' Dewan. Semua ADUN Pakatan menghadiri 'sidang' tersebut kecuali ADUN Titi Serong, Dr Khalil Idham Lim Abdullah yang sedang mengerjakan umrah. Terdapat tiga usul yang dibahaskan pada 'sidang' itu.

Usul-usul itu ialah untuk mengesahkan laporan 'Jawatankuasa Hak dan Kebebasan' yang bertarikh 27 Julai 2009 dan 12 Ogos 2009; pelantikan anggota bagi tiga jawatankuasa bagi penggal yang baru iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Kirakira Wang Awam dan Jawatankuasa Perintahperintah Tetap; dan usul tergempar mengutuk tindakan polis yang didakwa menggunakan kekerasan bagi menghalang anggota dewan daripada pakatan pembangkang daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi mengadakan persidangan itu.

11 pagi: Mohammad Nizar, Sivakumar dan beberapa wakil rakyat cuba memasuki ibu pejabat FRU di Sungai Senam untuk bertemu dengan wakil rakyat yang ditahan.

10.30 pagi: Bekas Speaker DUN, V Sivakumar berkata, beliau akan tetap meneruskan sidang DUN di Hotel Heritage pada pukul 11.30 pagi. Katanya, beliau harus mengggunakan doktrin yang diperlukan kerana wakil rakyat Pakatan dihalang daripada memasuki bangunan SUK.

10.20 pagi: Selain Ngeh, Keshvinder dan jurugambar Tan, ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan dua penyokong turut ditahan. Semua wakil rakyat Pakatan pulang ke ibu pejabat DAP dan mengadakan sidang akhbar. Mohammad Nizar terus mengulangi bahawa arahan yang dikeluarkan mahkamah hanya untuk penyokong dan wakil rakyat tidak boleh dihalang daripada memasuki dewan persidangan. Katanya, beliau bukan memanggil untuk berkumpul tetapi untuk mengadakan sidang DUN.

10.13 pagi: ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh ditahan. Mohammad Nizar meminta wakil-wakil rakyat Pakatan supaya bersurai.

10.07 pagi: Ngeh ditahan pihak polis.

10 pagi: Polis dan wakil rakyat Pakatan berhadapan bertemu dalam jarak 100 meter di luar bangunan SUK. Berlaku jeritan dan tolak menolak. Seorang jurugambar Nanyang Siang Pau ditahan.

Perbalahan berlaku. Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berarak sambil menjerit ke arak pihak polis. Ngeh mendakwa arahan mahkamah hanyalah untuk para penyokong kerana katanya Seksyen 24, Kanun Keseksaan menyatakan tidak ada wakil rakyat yang boleh dihalang daripada memasuki dewan persidangan. Ngeh juga berkata, arahan yang diterima di bawah Seksyen 98, Kanun Acara Jenayah perlu diwartakan terlebih dahulu di bawah Seksyen 90. Polis mengakui arahan itu tidak diwartakan namun terus menolak mereka supaya berundur.

9.45 pagi: Wakil rakyat Pakatan mula berarak dari ibu pejabat DAP Perak ke arah bangunan SUK.

8 pagi: Peguam Pakatan, Chan Kok Keong berada di Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapatkan perintah.

IPOH: Pakatan Rakyat tetap akan meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Pakatan telah memohon perintah mahkamah untuk mengenepikan perintah Mahkamah Majistret di sini yang membenarkan pihak polis menghalang sebarang perhimpunan dalam lingkungan 30 meter dari pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, yang melibatkan Jalan Istana hingga ke sekolah Poi Lam, bermula dari pukul 1 pagi tadi hingga 11 pagi esok.

Pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di beberapa lokasi strategik yang menghala ke arah bangunan berkenaan.

Polis meletakkan pita kuning dalam lingkungan kawasan yang dilarang bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan bangunan SUK.

Hanya kakitangan kerajaan bangunan tersebut dibenarkan masuk.

Wakil rakyat Pakatan mula berkumpul di ibu pejabat DAP yang terletak bertentangan dengan bangunan SUK pada pukul 9 pagi sebelum berarak ke bangunan itu.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan