'Sidang' DUN Pakatan lulus 3 usul

Diterbitkan: Rabu, 2 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Anggota Dewan Undangan Negeri Perak daripada pakatan pembangkang hari ini mengadakan satu mesyuarat menyerupai persidangan dewan itu di Hotel Heritage di sini dan "meluluskan tiga usul."

Usul-usul itu ialah untuk mengesahkan laporan 'Jawatankuasa Hak dan Kebebasan' yang bertarikh 27 Julai 2009 dan 12 Ogos 2009; pelantikan anggota bagi tiga jawatankuasa bagi penggal yang baru iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap; dan usul tergempar mengutuk tindakan polis yang didakwa menggunakan kekerasan bagi menghalang anggota dewan daripada pakatan pembangkang daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi mengadakan persidangan itu.

Mesyuarat itu, yang berlangsung selama dua jam mulai 11.45 pagi, dihadiri kesemua 24 Adun pakatan pembangkang kecuali tiga orang Adun yang ditahan polis pagi tadi dan Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah, yang sedang mengerjakan ibadah umrah.

Persidangan itu turut menyediakan susunan tempat duduk Adun Barisan Nasional di sebelah kiri 'Speaker' manakala Adun DAP, Pas dan PKR duduk di "pihak kerajaan yang memerintah" di kanan 'Speaker'.

Persidangan yang dipengerusikan oleh Adun Tronoh, S.Sivakumar, membincangkan usul pertama yang dibawa oleh Adun Changkat Jong, Mohd Anuar Sudin, usul kedua oleh Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, manakala usul tergempar dibawa oleh Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming. Mesyuarat itu kemudiannya ditangguhkan pada 1.37 petang.

Usul pertama yang dibawa Mohd Anuar mahu persidangan itu meluluskan laporan 'Jawatankuasa Hak dan Kebebasan' yang dilantik oleh pakatan pembangkang itu yang telah membuat ketetapan antaranya menggantung Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selama tiga bulan daripada menghadiri sidang DUN dan didenda RM250,000 dengan alasan Zambry telah menghadiri sidang DUN pada 7 Mei lepas walaupun telah digantung sebelum itu.

Selain Zambry, jawatankuasa itu turut menggantung Exco Kanan Datuk Hamidah Osman yang juga Adun Sungai Rapat bagi tempoh yang sama serta didenda dengan nilai yang sama. Timbalan Speaker Hee Yit Foong pula dicadang untuk dipenjarakan selama enam bulan dan didenda RM500,000.

Pada 27 Julai 2009, jawatankuasa itu mengesyorkan supaya Speaker DUN, Datuk R.Ganesan dihukum penjara enam bulan atau didenda RM500,000 kerana memegang jawatan Speaker secara tidak sah sewaktu persidangan DUN Perak pada 7 Mei lepas.

Usul yang dibawa oleh Mohammad Nizar diluluskan tanpa dibahas manakala usul tergempar oleh Nga dibahas oleh empat orang Adun sebelum diluluskan.

Persidangan yang dipanggil oleh Sivakumar itu diadakan di situ selepas polis menghalang beliau dan 26 Adun pembangkang daripada memasuki Dewan Negeri yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi Rabu.

Pada sidang akhbar kemudian, Mohammad Nizar yang ditanya sama ada Adun pembangkang akan hadir pada persidangan yang dipanggil oleh Speaker Datuk R.Ganesan kelak, berkata Ganesan tidak mempunyai hak untuk memanggil persidangan itu.

"Jadi notis memanggil sidang DUN itu adalah tidak sah," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan