Najib mahu pemimpin buang politik tidak matang

Diterbitkan: Selasa, 1 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah tiba masanya semua pihak khususnya mereka yang berstatus pemimpin mengamalkan politik yang lebih matang demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

Daripada terlalu kerap terperangkap dengan kata-kata retorik yang terburu-buru dan kesat mereka sepatutnya beralih kepada perbincangan yang berdasarkan logik, katanya.

"Oleh itu untuk berdepan dengan cabaran serta perubahan yang berlaku, negara amat memerlukan kekuatan dan semangat nenek moyang kita yang mendorong mereka ke arah mendapatkan kemerdekaan," katanya dalam blog 1 Malaysia bertajuk "Renungan Pada Hari Merdeka" di sini hari ini.

"Semangat seperti yang ditunjukkan merekalah yang kita perlukan bagi masa depan yang lebih baik bagi generasi seterusnya. Cara mereka mencapainya adalah dengan bekerjasama dalam nada yang serentak," katanya.

Najib juga berkata salah satu ciri yang membezakan Malaysia dan yang membuat "kita berbeza ialah kepelbagaian masyarakat kita".

"Kepelbagaian ini mengukuhkan negara kita. Ini diperlihatkan dalam cara kita membangun dan dalam persaingan ekonomi kita," katanya dalam jawapannya kepada soalan bagaimana beliau menilai Malaysia dari segi hubungan kaum, pembangunan, persaingan ekonomi dan kematangan berpolitik setelah 52 tahun merdeka.

Perdana Menteri berkata 52 tahun bukanlah satu jangka masa yang panjang tetapi apa yang telah dicapai dalam ruang masa tersebut adalah sungguh luar biasa.

"Kita telah beranjak daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi pembuatan dan perkhidmatan yang mengeksport produk ke seluruh dunia. Kita telah melabur dengan begitu banyak sekali untuk meningkatkan taraf kesihatan, pendidikan dan kehidupan," katanya.

Najib juga berkata pada 1957, lebih separuh daripada penduduk negara hidup di bawah tahap kemiskinan dan hari ini ia kurang daripada empat peratus.

"Kita telah lama keluar daripada keadaan itu, namun kita masih perlu kekal menumpukan perhatian untuk meneruskan usaha ini pada masa depan," katanya.

Kepada soalan lain, Najib berkata sejak dari awal negara ini bermula "kita sentiasa menekankan kepada kerjasama untuk membina masa depan yang lebih cemerlang. Kita tahu banyak yang kita hargai perlu dikongsi".

"Kita juga tahu bahawa ada orang yang akan menggunakan perbezaan kita untuk memecah-belahkan kita. Bila kita berada dalam keadaan terbaik, kita telah menentang mereka yang cuba memporakperandakan kita.

"Pada waktu yang lain pula, kita tidak sentiasa dapat berpegang pada cita-cita itu. Ia adalah tentang perpaduan dan berdiri sebagai satu bangsa yang bersatu dan merdeka.

"Marilah kita mengingatkan diri kita, betapa beruntungnya kita mempunyai rakyat Malaysia lain, daripada segenap lapisan kehidupan dan budaya, sama-sama berganding tangan untuk hari esok yang lebih cemerlang," katanya.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai cabaran bagi menyampaikan mesej 1Malaysia kepada pelbagai kumpulan dan masyarakat di Malaysia secara berkesan.

Najib berkata satu daripada matlamat 1Malaysia adalah untuk menggalakkan perbincangan terbuka dan jujur dan reaksi khalayak ramai sejak pembentukannya memperlihatkan betapa ia telah terabai.

"Semua ini adalah isu-isu yang penting kepada rakyat. Tetapi jika anda lihat kepada apa yang ingin dicapai oleh 1Malaysia, anda akan dapati persamaan dengan apa yang diusahakan oleh para pemimpin yang mempelopori negara kita.

"Dialog ini akan berterusan dan sebab itulah kita mewujudkan badanbadan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan 1Malaysia," katanya.

Najib berkata tiada jalan pintas untuk mencapai persefahaman bersama dan tiada langkah pembetulan segera bagi isuisu yang masih dicuba untuk memecah-belahkan rakyat negara ini.

"Kuncinya ialah untuk terus berhubung antara satu sama lain dan bekerjasama untuk menyelesaikannya. Itulah pendirian 1Malaysia dan apa yang digalakkan oleh yayasan," katanya.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai kenangan Merdeka yang benar-benar bermakna kepada beliau. "Sebagai anak kepada seorang Perdana Menteri dan anak saudara kepada perdana menteri yang lain, kesetianegaraan dan berkhidmat kepada negara sentiasa menjadi pengaruh yang sangat kuat.

"Saya ingat dengan jelas para tetamu yang bertali arus mengunjungi ayahanda saya pada hari-hari menjelang Hari Merdeka. Rasa penting dan berkenaan lelaki dan wanita yang sedang sibuk melakukan sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka masih bergema dalam ingatan saya," kata Najib yang dilahirkan empat tahun sebelum Merdeka.

Katanya Malaysia pada masa itu masih muda dan sedang membangun semasa beliau mencapai tempoh pembentukan diri.

"Semangat kesetianegaraan begitu tinggi dan negara begitu muda ketika itu. Saya ingat perasaan pengharapan tersebut. Saya masih merasainya sekarang. Sebagaimana ayahanda saya melihat ke masa hadapan dan kepada sebuah pengharapan iaitu Malaysia, begitulah juga dengan saya," katanya.

Kepada soalan lain, Perdana Menteri berkata sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia telah berjaya sebagai sebuah negara khususnya kerana keupayaan membina berdasarkan kepelbagaian rakyat.

Katanya perasaan bangga kepada negara dan sangat menghormati kepada apa yang telah berlaku sebelumnya menjadikan negara ini lebih kukuh.

"Jelas sekali, kita sedang melalui waktu-waktu yang mencabar. Peningkatan kemakmuran membawa bersama-samanya lebih banyak pilihan, juga lebih banyak keraguan," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata secara keseluruhannya perkembangan ini bukanlah tidak sihat tetapi ia menandakan perubahan masyarakat dan dengan perginya generasi lama, kenangan terhadap pengorbanan untuk mendapatkan kemerdekaan turut menjadi lenyap.

"Namun dalam diri setiap rakyat Malaysia tetap ada satu perasaan bahawa kita adalah 1Malaysia, satu bangsa, yang hanya boleh mencapai kemajuan dengan bersatu. Inilah yang saya harapkan berada dalam fikiran setiap rakyat Malaysia semasa mereka merayakan Hari Merdeka," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan