Cadangan pindaan ISA mesti ada keseimbangan - Hishammuddin

Diterbitkan: Selasa, 1 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sebarang cadangan pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah memastikan wujud keseimbangan antara keselamatan dan kepentingan negara serta hak sivil rakyat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata kerajaan bersedia menerima sebarang cadangan atau saranan berhubung pindaan ISA selagi ia mengekalkan unsur-unsur keseimbangan berkenaan dan setiap pindaan perlu dilakukan dengan teliti.

"Perkara paling penting ialah untuk memastikan wujud keseimbangan kerana dalam menggunakan akta ini, aspek keselamatan adalah perkara yang sangat perlu diutamakan, dan perlu pastikan ada peruntukan yang mencukupi, perlu pastikan sebarang ancaman yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan negara dapat dipatahkan, lebih-lebih lagi di saat kita menghadapi pelbagai cabaran seperti sekarang," katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima memorandum cadangan pindaan terhadap ISA daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di pejabatnya di sini hari ini.

Memorandum itu antara lain mencadangkan penubuhan Majlis Keselamatan Dalam Negeri untuk mengeluarkan perintah tahanan mengikut Seksyen 8(1) ISA.

Menerusi kewujudan majlis itu, perintah tahanan ISA yang dibuat oleh menteri atau polis dianggap tidak sah selagi tidak memperoleh kelulusan atau kebenaran majlis.

Mengulas mengenai saranan berkenaan, Hishammuddin berkata: "Jika kita boleh menyeimbangkan kesemua perkara berkaitan, saya akan lihat dan teliti (cadangan) tetapi yang paling penting di sini ialah Perkasa sanggup berdepan dengan saya dan kementerian untuk beri cadangan yang realistik tanpa emosi, tanpa mempolemikkannya dan menimbulkan masalah kepada orang ramai."

Mengenai pembentangan pindaan yang dijadual dilakukan semasa sesi Dewan Rakyat Oktober nanti, Hishammuddin berkata segalanya tertakluk kepada input yang diterima.

"Saya harap bacaan pertama dapat dibuat semasa Oktober nanti, tapi ia banyak bergantung sama ada kita dapat jumpa semua pihak yang berkepentingan sebelum dibawa ke Parlimen kerana untuk bacaan pertama itu pun, kita dah mesti sediakan akta untuk dibahaskan," katanya.

Selain mencadangkan penubuhan Majlis Keselamatan Dalam Negeri, Perkasa turut mencadangkan supaya mukadimah ISA dipinda untuk meluaskan lingkungan dan fungsi ISA menurut Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain, pindaan mukadimah itu mencakupi tindakan terhadap pihak yang cuba mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, tindakan terhadap pihak yang menganjurkan penentangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, tindakan terhadap pihak yang cuba mempertikaikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tindakan terhadap pihak yang cuba mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dan peribumi di Sabah dan Sarawak, tindakan terhadap pihak yang cuba membangkitkan perasaan perkauman yang boleh mendatangkan huru hara dan rusuhan antara kaum serta tindakan terhadap individu yang dituduh melakukan rasuah yang melibatkan jumlah wang terlalu besar yang boleh memberi kesan buruk terhadap ekonomi negara. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan