Semua mangsa banjir di Langkawi dibenar pulang

Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Kumpulan terakhir seramai 160 orang dari 55 keluarga mangsa banjir di pulau pelancongan ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini selepas air surut berikutan hujan yang telah reda sejak semalam.

Mereka adalah sebahagian dari 275 keluarga seramai 1,347 orang dari Mukim Kedawang, Padang Mat Sirat dan Ulu Melaka yang dipindahkan sejak Khamis lepas.

Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Langkawi, Che Ahmad Che Noor kumpulan terakhir itu adalah dari Pusat Pemindahan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang.

Hujan yang turun beberapa hari menyebabkan banjir kali kedua melanda tiga mukim iaitu Kedawang, Padang Matsirat dan Ulu Melaka yang dinaiki air melebihi satu meter sejak Khamis lepas.

Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib melahirkan penghargaan kepada jabatan dan agensi kerajaan antaranya Jabatan Bomba, Pertahanan Awam, Polis dan pihak hotel yang menyumbang makanan untuk berbuka puasa dan sahur kepada mangsa-mangsa banjir. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan