Treler rempuh kereta: Seorang maut, 3 parah

Diterbitkan: Ahad, 30 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut manakala isteri dan anak lelakinya cedera parah dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil dengan sebuah treler di kilometer 18 Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu menyebabkan pemandu kereta, Abdul Karim Abdul Aziz, 51, maut di tempat kejadian akibat tersepit dan cedera parah di kepala.

Ketua Polis Trafik Petaling Jaya ASP Zulkafli Cheklah berkata, treler yang dalam perjalanan dari arah Klang menuju Kuala Lumpur itu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya.

"Akibatnya, treler itu masuk ke jalan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta yang menuju ke arah Klang," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kenderaan terbabit berada di lorong laju dan keadaan cuaca ketika itu cerah.

Isteri mangsa, Maimon Said, 52, dan anaknya, Mohammad Ihsan, 11, kedua-duanya cedera parah dan berjaya dibawa keluar oleh orang awam.

Pemandu treler, Khaw Ta Hin, 53, turut cedera parah di kepala dan belakang.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke PPUM manakala mayat Abdul Karim dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Zulkafli berkata pemandu treler itu akan ditahan untuk siasatan lanjut. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan