Mukhriz kesal tindakan guna kepala lembu

Diterbitkan: Ahad, 30 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir kesal dengan tindakan sekumpulan penunjuk perasaan yang turut menggunakan kepala lembu sebagai membantah cadangan penempatan semula kuil Hindu di Seksyen 21 Shah Alam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata tindakan keterlaluan yang boleh menimbulkan rasa kurang senang kaum lain tidak seharusnya timbul, kerana setiap masalah yang wujud boleh diselesaikan melalui rundingan.

"Saya berharap semua pihak supaya bertenang dan jangan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di Malaysia," katanya.

Kelmarin, sekumpulan 50 orang yang mendakwa sebagai penduduk Seksyen 23 itu meletakkan kepala lembu di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah pemindahan kuil itu.

Mukhriz berharap insiden yang menghina kaum lain itu tidak berlaku lagi di masa depan.

"Saya berharap mereka lebih rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada lebih 50 pelajar sekolah dan anak yatim di sini semalam.

Mukhriz turut melahirkan rasa kecewa berhubung sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara ke-52 Isnin ini yang dilihatnya agak hambar berbanding beberapa tahun lepas.

Katanya rakyat kini tidak lagi teruja dan kurang mempamerkan perasaan patriotik.

"Kita boleh nampak dengan jelas misalnya kurangnya kereta yang memasang Jalur Gemilang, begitu juga di premis-premis perniagaan", katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan