Pemuda MIC demonstrasi jika UM kekal mahu tukar nama Jabatan Pengajian India

Diterbitkan: Sabtu, 29 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda MIC bercadang untuk mengadakan demonstrasi secara besar-besaran sekiranya Universiti Malaya (UM) meneruskan hasrat mereka untuk menukar nama Jabatan Pengajian India universiti itu kepada Jabatan Pengajian India dan Asia Selatan.

Setiausahanya, C. Shivarraaj berkata, beliau berharap Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr. Ghauth Jasmon mempertimbangkan permohonan mereka yang meminta nama jabatan itu dikekalkan.

Memorandum bantahan yang diserahkan kepada Ghauth semalam.

"Kalau permohonan kami ini tidak diberi perhatian sepenuhnya, kita akan menganjurkan demonstrasi besar-besaran di hadapan kampus UM secara aman untuk menunjukkan kepada UM dan Kementerian Pengajian Tinggi bahawa kita serius dalam perkara ini.

"Kalau ada modifikasi yang perlu dibuat, kita rela kerana itu kuasa autonomi akademik beliau (Ghauth) untuk memperbetulkan apa yang salah.

"Kalau ada kelemahan, betulkan tapi janganlah sampai ubah terus... tukar identiti jabatan tersebut.

"Ini bukan penyelesaian yang begitu baik kerana Barisan Nasional (BN) sedang bertungkus lumus untuk menyatupadukan semua kaum di negara ini di bawah satu payung melalui konsep 1Malaysia," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor, Mohamad Apandi Khalid yang mewakili Ghauth.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang mengatakan nama Jabatan Pengajian India akan ditukar kepada Jabatan Pengajian India dan Asia Selatan.

Bagaimanapun, perkara itu menimbulkan rasa kecewa dan marah di kalangan kaum India kerana jabatan tersebut dianggap sebagai lambang kebudayaan dan bahasa masyarakat India di negara ini.

Shivarraaj berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa kertas cadangan untuk menukar nama jabatan itu telah diusulkan kepada senat.

Justeru beliau mahu keputusan segera diambil berhubung perkara itu.

Shivarraaj berkata, pihaknya turut menuntut supaya jabatan itu diterajui oleh tokoh akademik India kerana hanya kaum India sahaja yang lebih memahami kebudayaan dan bahasa mereka.

Katanya, pihaknya juga sedia untuk duduk berbincang dan memberi kerjasama kepada UM sekiranya diperlukan.

"Kita boleh duduk bersama sebagai bekas pelajar dan NGO untuk membantu memperbetulkan apa yang tidak betul, bukan dari segi akademik tetapi dari aspek pelaksanaan jabatan.

KOMEN PRESIDEN MIC

Dalam pada itu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu MIC mahu UM mengekalkan nama Jabatan Pengajian India (ISD), dan sebarang langkah untuk menukar atau menambah namanya akan menyebabkan kesan serius.

Samy Vellu menggesa Naib Canselor UM mempertimbangkan keputusan beliau untuk menukar nama jabatan itu kepada Jabatan Pengajian India dan Asia Tenggara.

"Beliau hendaklah mendengar pandangan masyarakat India. Tamil ialah kehidupan kita," katanya sebagai mengulas kenyataan Ghauth semalam mengenai tindakan untuk menukar nama ISD.

Sehubungan itu, Samy Vellu berkata: "Kita tidak akan terima sebarang penukaran bagi Jabatan Pengajian India kerana kaum Indialah yang menyumbang pada kewujudan jabatan ini dan ia juga menjadi kebanggaan kita."

Samy Vellu berkata, beliau dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam bahawa Kabinet telah memutuskan untuk mengekalkan nama ISD apabila beliau yang juga Setiausaha Agung MIC membangkitkan isu tersebut pada mesyuarat jemaah menteri baru-baru ini.

"Telah dipersetujui oleh Kabinet. Jadi, janganlah ada sebarang penukaran bagi nama ISD," kata Samy Vellu.

Presiden parti itu berkata, ISD diwujudkan hasil daripada wang yang dipungut daripada pekerja ladang India pada awal 1950-an di bawah "Selamatkan Dana Tamil".

Beliau berkata, jika penukaran itu dibuat disebabkan masalah ahli-ahli akademik ISD, universiti itu hendaklah berurusan dengan mereka dan jangan menukar namanya.

"Jabatan itu mempunyai banyak nilai-nilai sejarah kepada masyarakat India. Penukaran namanya atau menamakan lain bermakna tidak menghormati masyarakat India," kata beliau.

Samy Vellu berkata, jika universiti itu mahu juga menukar namanya, MIC akan memohon kepada kerajaan agar campur tangan sungguhpun universiti berkenaan diberikan autonomi untuk mentadbir urusannya.

"Janganlah kita pada peringkat di mana masyarakat India akan mencari jalan lain untuk menyelesaikan masalah ini. Kita serah kepada kebijaksanaan Naib Canselor dan saya pasti beliau akan membuat keputusan yang tepat," tambah beliau.

Ghauth telah menyatakan bahawa beliau bersedia menghadapi jika ada kritikan daripada orang ramai mengenai penubuhan jabatan baru itu.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan