Saksi nafi Teoh diserang fizikal, mental

Diterbitkan: Jumaat, 28 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd. Ashraf Mohd. Yunus menolak teori peguam Gobind Singh Deo bahawa dua pegawai suruhanjaya diarah melakukan serangan psikologi dan penderaan terhadap Teoh Beng Hock untuk membuat setiausaha politik exco Selangor itu mengalah dan memberikan pengakuan seperti yang dikehendaki SPRM.

Ashraf, saksi ke-19 pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini hari ini, turut menafikan dakwaan Gobind bahawa serangan fizikal dan mental terhadap Teoh berlarutan sehingga lewat pagi di pejabat SPRM di Tingkat 14 Plaza Masalam di sini, sebelum beliau ditemui mati tertiarap di Tingkat 5 bangunan itu pada 16 Julai lepas.

Dalam keterangannya, Ashraf berkata, beliau diarahkan oleh Ketua Unit Siasatan SPRM Hairul Ilham Hamzah untuk membantu penolong penguasa Arman Alias menemu bual Teoh berhubung tuntutan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ean Yong Hian Wah.

"Saya hanya menyemak dan menyusun dokumen yang dicetak dari komputer riba Teoh dan bertanyakan dokumen mana yang ditandatangani olehnya," katanya.

Ashraf berkata, beliau dan Arman menemu bual Teoh di pejabat SPRM selama dua jam mulai 10.40 malam pada 15 Julai lepas.

Beliau berkata, walaupun Teoh gagal memberikan penjelasan berhubung empat invois yang dicetak dari komputer ribanya, Teoh masih memberikan kerjasama sepanjang tempoh temu bual itu.

Sambil menegaskan beliau tidak pernah menggunakan sebarang unsur kekerasan ke atas Teoh, beliau berkata, "saya hanya buat semakan dokumen sahaja, buat apa hendak guna kekerasan."

Gobind kemudian membalas: "Saya katakan kepada kamu, peranan kamu sebenarnya ialah untuk melakukan serangan psikologi dan mendera Teoh sehingga kamu dapat jawapan yang kamu hendak.

"Kemudian kamu akan melaporkan kepada Hairul bahawa kamu berjaya mendapatkan pengakuannya dan bolehlah merekodkan kenyataan Teoh selepas itu," cadang Gobind kepada Ashraf.

"Kamu adalah penipu kerana apa yang berlaku sebenarnya kamu berada dalam pejabat sehingga pukul 5 pagi dan mendera Teoh Beng Hock," kata Gobind dan Ashraf menjawab: "Tidak bersetuju."

Ashraf juga berkata beliau tidak mendengar sebarang bunyi jeritan atau bunyi pertengkaran kerana berada di dalam biliknya yang tertutup.

"Awak langsung tidak boleh mendengar apa-apa? Semalam dikatakan Bulkini Baharuddin (anggota SPRM) mendengar Teoh bertengkar dengan Tan Boon Hwa. Sekarang kamu kata kamu tidak dengar apa-apa. Siapa yang menipu di sini, kamu atau Bulkini? Saya katakan semua ini penipuan," kata Gobind.

Pada peringkat ini, peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa bangun membantah soalan itu dan berkata: "Jangan buat begini. Bulkini pun belum berikan keterangan."

"Keterangan sebelum ini menunjukkan pertengkaran dalam tandas, bukan di depan bilik saksi ini, sebab itu dia tidak dengar apaapa," kata Abdul Razak.

Gobind: "Kenapa kamu pula jawab untuk dia? Kalau kamu hendak jawab, masuk dalam kandang, saya boleh tanya kamu."

Abdul Razak: "Kamu pun buat banyak tohmahan, saya pun boleh minta kamu masuk dalam (kandang saksi) dan tanya kamu. You crossed him like hell!"

Gobind: "Hari itu mahkamah kanggaru, sekarang "hell" pula!"

Abdul Razak: "Awaklah sebenarnya kanggaru!"

Koroner Azmil Muntapha Abas kemudian segera meminta kedua-dua peguam itu menghentikan pertikaman lidah antara mereka.

Gobind, yang akur dengan perintah koroner, meneruskan sesi soal balas dengan mencadangkan kepada Ashraf bahawa pegawai SPRM sengaja memasang televisyen di ruang tamu pejabat itu dengan kuat bagi mengelak suara jeritan Teoh yang didera daripada didengari.

Saksi itu sekali lagi tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Ashraf akan menyambung semula keterangannya 8 September ini.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada di Tingkat Lima, Plaza Masalam di sini pada 16 Julai selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan