Pemecatan Chua: Najib tidak akan campur tangan

Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, beliau tidak akan campur tangan berhubung keputusan MCA yang memecat timbalan presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam.

“Kita tidak boleh campur tangan secara langsung dalam urusan parti komponen Barisan Nasional (BN) melainkan kita diundang untuk menjadi orang tengah,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada Pengerusi World Islamic Economic Forum Foundation, Tun Musa Hitam di sini hari ini.

Semalam, jawatankuasa disiplin MCA memecat Chua daripada MCA berkuatkuasa serta merta berikutan kes skandal seks beliau dua tahun lepas.

Mengulas lanjut, Najib yang juga pengerusi BN berkata, terpulang kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk membuat sebarang keputusan berhubung pemecatan itu.

“Saya diberikan taklimat oleh Presiden (Ong) dan dua naib presiden (Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai dan Datuk Dr Ng Yen Yen) mengenai keputusan itu dan mengapa mereka mengambil keputusan itu.

“Ini adalah hak beliau (Ong) untuk memutuskan apa juga tindakan yang akan diambil, tetapi tolong ambil kira daripada segi kepentingan BN," katanya.

Najib juga berjanji akan memberi perhatian terhadap masalah yang berlaku dalam MCA.

Ditanya sama ada beliau akan meminta Ong menimbang semula keputusan itu, Najib berkata: “Ada macam-macam spekulasi yang disebarkan di luar. Jangan percaya khabar angin sebegitu.

“Apa yang penting, saya tetap berpegang kepada prinsip saya,” katanya.

Najib bagaimanapun berharap MCA dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera demi kebaikan BN.

“Kita perlu tangani perkara ini supaya kesannya tidak mendatangkan mudarat kepada BN.

“Lagi cepat mereka selesaikan masalah ini, lebih baik untuk BN,” kata Najib.

Ketika ditanya sama ada isu tersebut akan menjejaskan sokongan pengundi Cina kepada BN, Najib berkata: “BN mahu MCA menjadi sebuah parti yang kuat dan mampu membawa aspirasi masyarakat Cina.”

Berhubung spekulasi yang mengatakan isu pemecatan itu lebih menjurus kepada masalah peribadi antara Chua dan Ong, Najib enggan mengulas lanjut.

“Soalan itu anda kena tanya kepada beliau (Ong). Saya tidak boleh komen asas beliau buat begitu (memecat Chua),” katanya.

Katanya, kedudukan Chua sebagai Penyelaras BN akan ditentukan kemudian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan