Hukuman fizikal ke atas wanita sepatutnya jadi pilihan terakhir - Najib

Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan undang-undang syariah terutamanya ke atas kaum wanita seharusnya menerusi proses tarbiah yang berteraskan kepada rasa simpati dan belas kasihan dan hukuman fizikal sepatutnya menjadi pilihan terakhir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Perdana Menteri berkata dalam pelaksanaan hukum syarak di negara ini, pihak yang berkenaan diingatkan supaya jangan menjadikan wanita sebagai mangsa.

"Terlalu banyak kes sama ada dalam kes tuntutan nafkah atau cerai yang mana wanita selalu menjadi mangsa dan tidak ada penguatkuasaan sama sekali dari segi keputusan yang dibuat oleh mahkamah syariah," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Wanita Kebangsaan 2009 di sini semalam.

Najib berkata rasa simpati, belas kasihan dan proses tarbiah merupakan intipati ajaran Islam yang menjadi ajaran dan amalan Nabi Muhammad S.A.W, dan ajaran itulah yang harus menjadi ikutan umat Islam pada masa kini.

"Kita hendaklah jangan terlalu ghairah...kita mesti lihat Islam sebagai ajaran yang mengamalkan keadilan, saksama, pengasih dan penyayang dan dan yang lebih penting, bersikap adil dan peluang untuk menebus dan memperbaiki kesalahan sendiri adalah lebih penting daripada hukuman.

"Saya harap mereka yang berkenaan akan mendengar apa yang telah saya katakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata kerajaan komited untuk menggerakkan agenda pembangunan dan memperkasakan wanita sesuai dengan Dasar Wanita Negara supaya golongan itu dapat mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan minimum dalam bidang-bidang pembuat keputusan negara.

Beliau berkata walaupun kini pencapaian wanita di dalam beberapa bidang tertentu boleh dibanggakan mampu menandingi bilangan kaum lelaki, tetapi masih ada ruang untuk meningkatkan peranan wanita.

"Saya dengar saranan Datuk Seri Shahrizat (Abdul Jalil) dengan suara yang lantang dan nyaring supaya dalam bidang politik, pentadbiran kerajaan dan korporat ditingkatkan penyertaan wanita.

"Saya percaya secara berperingkat-peringkat, perkara ini akan menjadi kenyataan," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Dasar Wanita Negara 2009 yang merupakan kesinambungan dasar sama yang digubal pada 1989 bagi memberi lonjakan dan nafas baru kepada usaha kerajaan untuk memperhebatkan penyertaan wanita dalam pembangunan arus perdana negara.

"Perkara pokok yang diberi penekanan dalam dasar ini ialah kita perlu menentukan persekitaran yang kondusif ataupun keadaan yang membolehkan wanita memainkan peranan aktif dan berkesan sebagai penyumbang kepada proses pembangunan negara.

"Kita juga perlu memastikan wanita bebas daripada sebarang unsur diskriminasi berasaskan kepada gender dan ini melibatkan sama ada soal peraturan, undang-undang mahupun lebih daripada itu iaitu perubahan minda kita supaya kita tak lihat wanita sebagai kaum yang lemah tetapi kita lihat wanita itu setanding kemampuannya dengan kaum lelaki," katanya.

Beliau berkata kerajaan komited untuk menggerakkan agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita bagi menyerlahkan potensi 13.4 juta wanita Malaysia.

Sesungguhnya pelaburan dalam wanita ini merupakan satu bentuk ekonomi pintar kerana mengikut kajian Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasific (Apec), ekonomi di rantau ini kerugian kirakira RM289 bilion setahun kerana wanita tercicir daripada menjadi sebahagian daripada tenaga kerja atau perniagaan, kata Perdana Menteri.

"Kalau kita mengambil kira perkara ini maka wanita boleh menyumbang secara lebih hebat lagi dalam menentukan masa depan negara Malaysia," katanya.

Majlis itu turut dihadiri isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan