ADUN Permatang Pasir akan dilantik sbagai Presiden MAIPP

Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir yang baru dipilih Mohd Salleh Man dijangka dilantik sebagai Presiden Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata pelantikan itu dipersetujui mesyuarat Exco hari ini.

Beliau berkata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri Abdul Malik Abul Kassim akan memohon perkenaan Yang di-Pertuan Agong dan Gabenor Pulau Pinang mengenai pelantikan itu.

Jawatan itu kini disandang oleh ADUN Permatang Berangan Shahbudin Yahya, yang tempoh perkhidmatannya akan tamat Disember ini.

Mengenai pilihan raya kecil Permatang Pasir, Lim berkata Mohd Salleh masih mampu mengekalkan 65 peratus undi, peratus yang sama diperoleh oleh Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman pada pilihan raya umum tahun lepas berdasarkan pada jumlah pengundi yang mengundi.

"Secara amnya tidak banyak perubahan dalam undi majoriti berdasarkan jumlah pengundi ialah 73.1 peratus berbanding 82.57 peratus pada tahun lepas," kata beliau.

Pada pilihan raya kecil DUN itu semalam, PAS mengekalkan kerusi itu setelah Mohd Salleh, 52 menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman, 38 dengan 4,551 undi.

Menyentuh sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri, Lim berkata sambutan diadakan secara sederhana dan tempoh masa bagi acara yang diadakan tidak lama disebabkan merebaknya virus Influenza A(H1N1).

"Kita akan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos tetapi secara sederhana kerana acara perarakan yang diadakan setiap tahun dibatalkan," kata beliau.

Katanya sambutan itu hanyalah perhimpunan kecil kerana keutamaan ialah pada keselamatan orang ramai dan mencegah merebaknya virus tersebut. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan