Zulkifli Noordin desak hentikan fitnah ke atas Radhzi

Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin hari ini mendesak ahli-ahli Pakatan Rakyat supaya menghentikan fitnah ke atas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lunas, Mohammad Radzhi Salleh yang bertindak keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin dan menjadi ADUN Bebas.

"Ingatlah setiap jari yang kita tuding kepada orang, tiga jari lagi menuding kepada kita," kata beliau dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com/ semalam.

Beliau berkata, Radzhi meletak jawatan dalam Pakatan kerana masalah-masalah polisi dan prinsip dan bukannya berkaitan dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Menurut Zulkifli, segelintir ahli-ahli PKR menuduh Radzhi meletak jawatan kerana pelbagai sebab termasuk beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), masalah disiplin dan ada yang menuduh beliau menerima rasuah sebanyak RM4 juta daripada Umno.

"Sebagai pejuang hak asasi manusia, sepatutnya kita (Pakatan) menjadi orang pertama menmghormati keputusan beliau kerana itu adalah hak asasi beliau untuk memilih dan menentukan parti mana yang beliau mahu sertai," katanya.

Zulkifli berkata, Radzhi sangat komited dan berdedikasi semasa menjalankan tugasnya sebagai Exco Pelancongan dan Sumber Manusia dan hanya Sultan Kedah mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada beliau perlu kekal sebagai Exco.

Dalam blognya, Zulkifli turut memberitahu mengenai usaha-usaha yang dilakukan Radzhi untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi "syariah compliance" dan "halal tourism" untuk menarik lebih pelancong dari Asia Barat.

"Beliau sangat menaruh minat dengan konsep "halal hotel" yang dilaksanakan oleh pengurusan Hotel De Palma, Ampang Selangor yang katanya memenuhi cita-cita beliau untuk melaksanakan "halal tourism" di Kedah.

"Beberapa pertemuan dan perbincangan telah diadakan dengan pihak pengurusan hotel De Palma untuk mempelajari konsep "syariah compliance hotel" ini," katanya.

Berhubung isu kaum Melayu di Malaysia yang tidak bersatu sejak pilihan raya umum 2008, Zulkifli berkata, Radzhi adalah antara orang yang paling sedih tentang perkara itu.

"Beliau sangat teringin melihat pemimpin-pemimpin Melayu Islam daripada PAS, PKR dan UMNO duduk semeja untuk mencari kata sepakat demi ukhwah Islamiyyah dan maruah agama yang makin tercabar," katanya.

Zulkifli berkata, Radzhi turut berhadapan dengan masalah kewangan untuk memantau dan menguruskan DUN Lunas.

Katanya, ADUN daripada Pakatan terutamanya di Kedah tidak menerima sebarang bantuan kewangan atau dana.

"Kami bergantung sepenuhnya kepada elaun dan pendapatan sebagai ADUN dan MP. Ini ditambah pulak dengan masalah dalaman, jentera dan cabang PKR di Padang Serai yang tak habis-habis dilanda masalah dalaman termasuk ketiadaan kerjasama daripada beberapa orang pimpinan tempatan," katanya.

Zulkifli turut mempersoalkan mengapa ahli-ahli Pakatan mendesak Radzhi meletakkan jawatan sebagai ADUN sedangkan semasa ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim meninggalkan Umno untuk menyertai PKR, dan kemudian kembali semula menyertai Umno, PKR tidak memaksa beliau meletak jawatan.

"Melainkan kita ini pengamal fahaman 'double-standard', saya berpendapat pendirian kita mesti istiqamah dan konsisten," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan