DAP tidak akan rebut, serah pada Azizan jika ada kekosongan jawatan Exco

Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: DAP Kedah menyerahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk memilih calon bagi mengisi jawatan Exco sekiranya Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan melucutkan jawatan Mohd Radzhi Salleh yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su berkata parti itu enggan merebut jawatan sekalipun tiada wakilnya dalam barisan Ecxo kerajaan negeri kerana lebih mementingkan kesepakatan dalam pakatan pembangkang.

Katanya DAP tidak akan terikut-ikut dengan desakan pihak luar supaya mendesak Azizan memberikan jawatan Exco kepada parti itu jika ada kekosongan.

"Sama ada berharap atau tidak (DAP diberi jawatan Exco) itu bergantung kepada Azizan untuk memutuskannya. Kita tidak akan berebut," kata Su kepada pemberita di sini Selasa.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang semalam mencadangkan supaya kerajaan PAS memberi peluang kepada DAP mengisi tempat Mohd Radzhi sekiranya Sultan Kedah berkenan menggugurkan beliau sebagai Exco.

Semalam, Azizan menyembahkan surat kepada Sultan Abdul Halim memohon supaya Mohd Radzi digugurkan sebagai Exco kerana beliau tidak lagi mewakili PKR selepas mengistiharkan keluar parti dua hari lepas untuk menjadi wakil rakyat Bebas.

Wakil tunggal DAP ialah ADUN Kota Darul Aman, Lee Guan Aik manakala ADUN PKR yang tidak menjadi Exco ialah ADUN Sidam, Tan Show Kang dan Lim Soo Nee (Kulim).

Su juga menafikan dakwaan wujudnya persefahaman dalam pakatan bahawa partinya akan diberi satu kerusi Exco di Kedah dengan syarat satu jawatan Exco turut diberi kepada Pas di Pulau Pinang.

Menurutnya kenyataan mengenai perkara itu yang dibuat oleh ADUN Sidam dan disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina hari ini tidak tepat kerana tiada perbincangan mengenainya pernah dibuat. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan