Jawatankuasa Pusat MCA sokong tindakan saman - Ong

Diterbitkan: Ahad, 23 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata Jawatankuasa Pusat parti itu sebulat suara menyokong tindakannya untuk menyaman Ketua Eksekutif Datuk Seri Tiong King Sing yang mendakwa beliau memberikan RM10 juta kepada Ong tahun lepas bagi membiayai aktiviti parti.

Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata keputusan itu disahkan anggota Jawatankuasa Pusat parti termasuk timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek, dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 18 Ogos di Johor Baharu.

"Sebenarnya, ia adalah keputusan sebulat suara yang dilakukan selepas satu perbincangan dan beberapa pindaaan dilakukan, dan ini termasuk timbalan presiden sekali," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Biro Bantuan dan Kaunseling Wanita dan Kanak-kanak (WCAB) di ibu pejabat MCA di sini pada Ahad.

Ong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Chua yang memintanya supaya tidak mengheret MCA dalam pertikaian undang-undang berhubung "masalah eribadinya".

Mengenai gesaan Tiong supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeriksa akaunnya, Ong berkata: "Dia ini boleh heboh apa sekali pun. Tapi saya rasa yang penting itu, keadilan dan kebenaran tetap akan ditegak dan bukannya berdasarkan kepada hebohan seseorang individu yang kredibilitinya telah pun dipersoalkan."

Berhubung pelancaran Biro Bantuan dan Kaunseling Wanita dan Kanak-kanak Wanita MCA, Ong berkata biro itu bukan sekadar memberi bantuan daripada segi khidmat kaunseling tetapi akan memberi bimbingan dan usaha menangani kes-kes melibatkan keganasan rumahtangga.

Beliau berkata kaum wanita juga memerlukan pendedahan dalam bidang kemahiran untuk membolehkan mereka berdikari sekaligus membantu memperbaiki ekonomi sendiri.

Ong berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Kojadi dan memfokuskan dalam bidang kemahiran termasuk kursus-kursus melibatkan kaum wanita untuk menguasai kemahiran tertentu dan berdikari dalam bidang ekonomi.

Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun berkata perkhidmatan kaunseling itu akan diperkembangkan kepada kaum wanita di seluruh negara dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, perkara itu bakal direalisasikan selepas mengambil kira kejayaan yang ditunjukkan oleh perkhidmatan kaunseling yang dijalankan melalui WCAB Selangor sejak 2006.

"Sejak ditubuhkan, kami berjaya melahirkan lebih daripada 100 kaunselor dan menubuhkan 17 unit kaunseling di 17 bahagian di sekitar Selangor," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan