Azizan serah kedudukan ADUN Lunas kepada pucuk pimpinan PKR

Diterbitkan: Ahad, 23 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata status Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lunas, Mohd Radzhi Salleh sebagai Anggota Exco Kerajaan Negeri akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PKR setelah beliau mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.

Katanya, sebagai Menteri Besar, beliau berhak menggantikan mana-mana Anggota Exco Kerajaan Negeri yang tidak lagi mewakili parti-parti pakatan pembangkang setelah memaklum dan diperkenankan oleh Sultan Kedah kelak.

"Saya masih menunggu surat rasmi dari PKR mengenai kedudukan Radzhi dan jika pucuk pimpinan parti itu minta saya gantikan orang lain (Anggota Dewan Undangan Negeri dari PKR) maka saya akan ganti dengan orang lain,".

"Setakat ini saya cuma mendengar berita mengenai tindakan Radzhi yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas tetapi saya belum dimaklumkan oleh beliau sendiri," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Azizan berkata, beliau tidak mahu mengulas mengenai tindakan Mohd Radzhi kerana ia adalah urusan dalaman PKR.

Mohd Radzhi hari ini mengumumkan keputusan keluar parti hari ini untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Bagaimanapun, beliau tidak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri.

Beliau mendakwa sebanyak 200 anggota PKR Padang Serai turut keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinannya setelah perjuangan parti itu kini tidak seiring dengan matlamat asal penubuhannya.

Kedah mempunyai mempunyai lima ADUN dari PKR dan tiga daripadanya termasuk Mohd Radzhi dilantik sebagai Anggota Exco Kerajaan Negeri.

PAS mempunyai 16 ADUN dan tujuh daripadanya dilantik sebagai Anggota Exco Kerajaan negeri. BN pula mempunyai 14 ADUN manakala DAP hanya mempunyai seorang ADUN.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan