Muhyiddin mahu lebih banyak syarikat swasta bantu kerajaan tingkat akses pendidikan

Diterbitkan: Khamis, 20 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini mahu lebih banyak syarikat swasta tampil membantu kerajaan untuk meningkatkan akses pendidikan dan menambahbaik keberkesanan proses pengajaran serta pembelajaran, melalui teknologi terkini.

Muhyiddin, merangkap Menteri Pelajaran berkata penglibatan syarikat swasta menerusi tanggungjawab sosial korporat itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar.

"Sesungguhnya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti kepada murid, tidak kira sama ada mereka berada di bandar atau di luar bandar. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar sekaligus meningkatkan akses serta kualiti pendidikan negara.

"Lebih-lebih lagi dengan kepesatan kemajuan teknologi, sebenarnya banyak syarikat swasta yang boleh tampil membantu kerajaan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan serta menambahbaik keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi terkini," katanya berucap melancarkan "Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah Di Semenanjung Malaysia", di sini, Khamis. Hadir sama Pengerusi Astro, Datuk Badri Masri.

Astro menerusi program "Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah Di Semenanjung Malaysia" itu, memasang dan membekal alat perakam video peribadi, set televisyen LCD dan saluran pembelajaran kepada sekolah dan Pusat Kegiatan Guru di seluruh negara secara percuma.

Timbalan Perdana Menteri berkata dalam ekonomi berasaskan pengetahuan hari ini, kemajuan yang dicapai oleh sesebuah negara tidak lagi dinilai dari segi pemilikan sumber asli yang banyak atau modal fizikal yang melimpah ruah sebaliknya keupayaan negara untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang mampu memacu kemajuan negara melalui penciptaan dan inovasi.

Sehubungan itu, beliau berkata penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam negara perlu direvolusikan kerana ia dapat menampilkan pembaharuan dalam kaedah pembelajaran dan membuka gerbang pengetahuan yang luas kepada murid untuk menggalakkan pemikiran yang kreatif dan inovatif.

Menurut Muhyiddin, fasa satu program "Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah di Semenanjung Malaysia" dimulakan di Sabah dan Sarawak awal tahun ini dengan melibatkan sebanyak 127 buah sekolah, 13 Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian dan 53 Pusat Kegiatan Guru dengan seramai 195 orang guru dilatih dalam aspek teknikal dan kandungan pembelajaran Astro.

Fasa dua, katanya, yang melibatkan projek bernilai RM30 juta adalah meliputi kawasan di Semenanjung Malaysia dengan Pagoh merupakan kawasan pertama yang akan menerima pemasangan Astro di bawah program berkenaan.

"Dengan kemudahan satelit yang disediakan Astro, saluran TV Pendidikan boleh dipancarkan ke kawasan-kawsan pedalaman yang tidak dapat dihubung oleh saluran televisyen biasa. Kemudahan ini amat berguna bagi kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan siaran televisyen biasa," katanya.

Sementara itu, Badri dalam ucapannya berkata Astro mendapati rakyat dari pelbagai lapisan di negara ini mengutamakan pembelajaran dengan buktinya lebih 70 peratus pelanggannya iaitu tujuh daripada 10 buah rumah, melanggan pakej pembelajaran Astro.

Beliau berkata pihaknya menyedari usaha Kementerian Pelajaran yang mahukan generasi muda mendapat akses kepada pelajaran yang berkualiti bersesuaian dengan komitmen kerajaan untuk memberikan peluang pelajaran kepada semua kanak-kanak.

"Melalui Kampus Astro ini, kami bermatlamat untuk mengilhamkan pembelajaran secara holistik. Adalah menjadi harapan kami supaya kira-kira 5.2 juta kanak-kanak sekolah di negara ini memperoleh pengetahuan terkini, meluaskan pengalaman dan meningkatkan kemahiran," katanya.

Menurut Badri, sebanyak 170 buah sekolah di Sabah dan Sarawak dilengkapkan dekoder dengan fungsi perakam, peti televisyen dan akses kandungan pendidikan menerusi program perintis awal tahun ini dalam usaha menyokong strategi kerajaan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan