Nik Aziz 'lebih daripada manusia biasa', kata Tun M

Diterbitkan: Rabu, 19 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR:Tun Dr Mahathir Mohammad menyifatkan Musyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai "lebih daripada manusia biasa" kerana boleh menentukan kelayakan seseorang untuk masuk syurga atau neraka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau juga "berbangga" dengan kebolehan Menteri Besar Kelantan itu untuk mengetahui perkara sedemikian.

"Jadi dia satu orang yang cukup lebih daripada manusia biasa.

"Manusia biasa hanya bila mati boleh pergi syurga atau negara tetapi tidak akan dapat balik untuk cerita...kitapun tak tahu Nik Aziz boleh ke syurga atau neraka, itu kita tidak boleh kata.

"Jadi saya berbangga dengan kebolehan Nik Aziz untuk menentukan siapa pergi syurga dan neraka. Sesiapa yang kenal baik beliau, pergilah tanya kepada beliau (sama ada akan ke syurga atau neraka)," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz dua hari lepas bahawa penyokong Umno tidak akan masuk syurga kerana parti itu memisahkan Islam dan iman.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen International Medical University di sini hari ini, Dr Mahathir berkata, sebagai manusia biasa apa yang boleh dilakukan ialah untuk menjadi manusia yang baik.

Mengenai cadangan supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berhubung perkara itu, Dr Mahathir berkata ia tidak perlu kerana tidak ada manusia di dalam dunia ini yang boleh menentukan kelayakan seseorang untuk ke syurga atau neraka selepas meninggal dunia.

"Orang warak sekalipun jika ada niat yang tidak baik juga mungkin akan ke neraka," katanya.

Dalam isu lain, Dr Mahathir yang menerima Anugerah Kehormat Doktor Perubatan sempena majlis konvokesyen itu, bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menggugurkan ruangan 'kaum' pada borang dan dokumen rasmi kerajaan. Beliau berkata perkara itu sepatutnya sudah lama dibuat kerana dalam konteks Malaysia, soal kaum boleh ditentukan berdasarkan nama individu.

"Kita boleh tahu kaum seseorang itu daripada namanya. Kalau dia nama Mohamad takkanlah dia Cina...ada juga Cina nama Mohamad kalau dia masuk Islam...tapi itu tidak apalah. "Masalah dengan nama Cina ialah kita tidak tahu jantinanya...jika Melayu ada bin atau binti, India "anak lelaki atau anak perempuan".

Jadi, daripada segi jantina, mungkin ita kena tulis tetapi untuk kaum, ianya soal mengenal pasti mereka daripada nama masingmasing," katanya.

Ditanya sama ada beliau menjangka wujud sebarang kesukaran untuk kerajaan melaksanakan cadangan itu, Dr Mahathir berkata kerajaan boleh melaksanakannya jika mahu kerana undang-undang boleh diubah dan dipinda.

Menyentuh mengenai penularan wabak Influenza A(H1N1) di negara ini, Dr Mahathir berpendapat kerajaan boleh melakukan lebih banyak lagi termasuk meningkatkan publisiti dan kesedaran orang ramai mengenai bahaya wabak itu.

Rakyat juga harus mengambil langkah berjagajaga dengan mengamalkan pemakaian penutup mulut dan hidung selain mengamalkan isolasi jika perlu, katanya. Dr Mahathir juga berkata seseorang doktor perubatan harus lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas merawat pesakit daripada mengejar keuntungan semata-mata.

"Profesion doktor berbeza dengan profesion lain, berkhidmat bukan sahaja untuk gaji tetapi lebih kepada memulih dan merawat pesakit," katanya.

Ketika diminta mengulas sikap segelintir doktor yang cuai dan bersikap kasar dengan pesakit ketika memberi rawatan, Dr Mahathir berkata:

"Dulu doktor tak ramai, aduan pun tak banyak. Sekarang kita ada berpuluh ribu doktor, tentulah ada antara mereka yang tidak tahu membawa diri. Masyarakat semakin besar maka adalah yang besar kepala tetapi tak semestinya semua doktor macam tu," katanya.

Dr Mahathir berkata terdapat juga doktor yang berkhidmat secara percuma dan melakukan kerja amal dengan membantu mereka yang sakit dan cedera di dalam dan luar negara.

"Seperti doktor Mercy (Malaysia), tak dapat duit apaapa pun, begitu juga ada yang ke luar negeri yang menolong dan tinggal di tempat yang tidak selesa," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya ketika menerima anugerah itu, Dr Mahahthir berkata tugas sebagai seorang doktor bukan sahaja dapat mengajar mendisiplinkan diri malah ia mengajar seseorang doktor untuk banyak bersabar melayan karenah pesakit dan bersimpati dengan apa yang berlaku.

Katanya doktor di negara ini beruntung kerana tidak ramai yang berhadapan dengan tuntutan mahkamah dan saman daripada pesakit seperti doktor di luar negara.

Anugerah itu disampaikan kepada Dr Mahathir kerana pengorbanan beliau mentadbir negara hampir 22 tahun dan juga sebagai seorang doktor perubatan yang membuka klinik swasta pertama di negara ini iaitu Klinik Maha di Alor Setar, Kedah. Anugerah disampaikan Canselor IMU, Tan Sri Dr Sulaiman Daud.

Pada majlis itu seramai 95 graduan menerima ijazah Sarjana dan Sarjana Muda Sains Perubatan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan