Arahan MB Selangor terhadap SPRM tidak sah -Nazri

Diterbitkan: Selasa, 18 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Arahan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim supaya semua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berjumpa dengan pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri dan tidak perlu memberi sebarang kenyataan selepas pukul enam petang adalah bukan sesuatu yang termaktub dibawah undang-undang kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak boleh mengeluarkan arahan yang akan mengehadkan siasatan yang dibuat oleh badan penyiasat bebas seperti SPRM kerana tindakan itu akan dianggap sebagai menghalang pegawai kerajaan daripada melakukan tugas mereka.

Jelasnya, tindakan Menteri Besar Selangor itu adalah satu percubaan untuk menakut-nakutkan pegawai SPRM yang mahu membuat siasatan keatas kes rasuah ADUN negeri itu.

"Saya sudah memberitahu pegawai SPRM supaya menjalankan tugas mereka dengan telus dan berani serta tidak membiarkan sesiapa pun menggangu mereka sepanjang menjalankan tugas.

"Saya pun sudah maklumkan kepada Peguam Negara supaya mengkaji tindakan beliau (Khalid) sama ada ia sah atau tidak dari segi perundangan," kata Nazri kepada pemberita.

Menurut beliau isu yang timbul ialah adakah arahan Khalid tersebut selari dengan lunas undang-undang negara.

"Fungsi SPRM jelas dinyatakan di bawah undang-undang, oleh itu tindakan seperti ini adalah campurtangan pihak pentadbiran dan saya bercadang untuk mefailkan satu permohonan supaya arahan Khalid itu tidak sah," katanya.

Oleh itu, Nazri mengatakan tidak wajar SPRM dihalang daripada melakukan tugas kerana perkara yang mereka perangi ialah jenayah dan bukan mana-mana pertubuhan parti.

Beliau menjelaskan tindakan Khalid itu menunjukan Pakatan Rakyat sendiri gagal untuk melaksanakan apa yang mereka laungkan selama ini dan cuba untuk mengawal suruhanjaya itu daripada melakukan siasatan apabila ahli mereka sendiri yang disiasat.

Tegasnya, ramai ahli Barisan Nastional termasuklah beliau sendiri disiasat oleh SPRM tetapi mereka tidak pernah menghalang siasatan itu kerana yakin SPRM adalah sebuah badan yang bebas.

"Saya fikir mereka menuduh macam-macam terhadap SPRM kerana mereka mahu mengalihkan perhatian apabila sudah malu disebabkan tuduhan rasuah yang diamalkan oleh pemimpin dan adun mereka.

"DAP terutamanya dahulu sering menyalahkan Barisan atas salahlaku rasuah tetapi apabila mereka mengusai kerjaan negeri rupanya mereka juga tidak terlepas dari mengamalkan rasuah," katanya sambil menambah pembangkang sepatutnya membenarkan SPRM membuat siasatan yang bebas sekiranya mereka yakin tidak melakukan kesalahan.

Dalam pada itu, Nazri berkata tiada sebab mengapa pegawai SPRM mahu mencederakan Wong Chuan How, pembantu exco kerjaan Selangor Ronnie Liu.

Mengulas mengenai kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengatakan SPRM membuat siasatan terpilih apabila hanya menyiasat suspek yang berbangsa cina atas tuduhan rasuah, Nazri menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak berasas dan berbaur perkauman.

"Adakah dia (Lim) tidak nampak tangkapan (yang melibatkan seorang adun yang dituduh menerima rasuah berjumlah RM20,000) di Terengganu dan ramai lagi yang disiasat ketika perhimpunan agung Umno. Ada sesiapa yang persoalkan kenapa begitu ramai orang Melayu yang disoalsiat ketika itu?" katanya lagi.

Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pekeliling kerajaan Selangor yang melarang pegawai-pegawai kerajaan negeri memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas waktu pejabat adalah tidak sah,

"Fungsi SPRM tertakluk kepada undang-undang tertentu. Kita akan memfailkan permohonan di mahkamah untuk mengisytiharkan arahan itu sebagai tidak sah dan terbatal. Dari segi undang-undang, perkara ini salah.

"Saya akan memfailkan permohonan dalam minggu ini," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz selepas perasmian mesyuarat tahunan ke-8 Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO), di sini semalam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan