20 terbunuh pejuang berani mati rempuh balai polis dengan trak di Selatan Rusia

Diterbitkan: Selasa, 18 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NAZRAN (REPUBLIK INGUSHETIA, RUSIA): Pengebom berani mati telah meletupkan sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan ke atas sebuah balai polis di wilayah autonomi Rusia, Ingushetia petang Isnin - mengorbankan sekurang-kurangnya 20 anggota polis dan mencederakan lebih 138 orang yang lain.

Insiden ini disifatkan yang terburuk pernah melanda wilayah bermasalah ini.

Ingushetia merupakan sebuah wilayah yang bergolak di Utara Caucasus yang bersempadan dengan Turki, Azerbaijan dan juga Georgia berhampiran Asia Tengah.

Ia merupakan salah satu wilayah di dalam Persekutuan Rusia yang menuntut kemerdekaan atau pemerintahan sendiri sepertimana Chechnya.

Malapetaka terbaru ini sekaligus mencacatkan pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh pihak Persekutuan Rusia atau Kremlin untuk membawa keamanan di wilayah yang bergolak ini malah lebih membimbangkan ialah ia telah mencetuskan satu suasana yang mampu mengantikan Chechnya sebagai medan pertempuran baru di antara pihak kerajaan dengan pihak pemisah.

Kedua-dua wilayah Ingushetia dan Chechnya terdiri daripada majoriti etnik yang beragama Islam dan menganggap Rusia sebagai pihak penjajah.

Tidak ada pihak yang segera mengaku bertanggungjawab ke atas tindakan berani mati itu tetapi agensi berita The Associated Press (AP) melaporkan, letupan itu telah meranapkan sebahagian besar daripada bangunan dua tingkat balai polis berkenaan dan juga meninggalkan kesan kawah yang besar di bahagian laman balai.

AP juga melaporkan bahawa Presiden Rusia, Dmitry Medvedev dalam reaksi segeranya telah memecat pegawai tinggi polis yang bertanggungjawab ke atas wilayah Ingushetia dan secara keras mengkritik serta menyalahkan kegagalan pihak polis tempatan bertindak awal dalam mengekang kejadian itu.

Ini kerana Ingushetia sebelum ini telahpun menjadi sasaran pihak pemisah dengan kejadian serangan yang hampir mengorbankan pemimpin Ingushetia yang dilantik Rusia, Yunus-Bek Yevkurov.

Menurut laporan awal, pengebom berani mati itu telah merempuh pagar hadapan balai polis berkenaan pada ketika anggota-anggota polis sedang bersiap sedia untuk melakukan perbarisan.

Pada Jun 2004, kejadian yang seakan-akan sama telah mengorbankan lebih 90 nyawa - kebanyakkan anggota keselamatan di Ingushetia.

Chechnya yang pernah dua kali mengisytiharkan peperangan ke atas Republik Rusia - kali terakhir pada tahun 1994 - telah menyaksikan pihak tentera menyerang dan menawan Grozny ibu negara wilayah berkenaan sewaktu pemerintahan Presiden Vladimir Putin yang kini berkhidmat sebagai perdana menteri di bawah pentadbiran Medvedev.

Bagaimanapun Putin kemudiannya berjaya membawa keamanan kembali ke Chechnya dan melabur berjuta-juta ringgit dalam membangunkan semula wilayah berkenaan.

Tetapi pemberontakan masih juga berlaku kerana pemerintah yang dilantik oleh Rusia di kedua-dua wilayah ini kebiasaannya memerintah secara kuku besi dan menggunakan pihak keselamatan terutamanya polis dalam mencabul hak-hak kemanusiaan penduduk di wilayah bergolak ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan