Semua aspek diambil kira sebelum buat keputusan tidak teruskan PPSMI

Diterbitkan: Ahad, 16 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Keputusan untuk tidak meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat selepas kerajaan mengambil kira dan meneliti semua aspek termasuk pandangan pelbagai pihak, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sehubungan itu, Dr Mohd Puad berpendapat keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI itu merupakan langkah kerajaan untuk membetulkan sesuatu yang tidak betul demi kebaikan pelajar dan rakyat keseluruhannya.

Menurut Dr Mohd Puad, sekiranya dasar itu bertujuan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dengan mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris maka adalah lebih baik mata pelajaran berkenaan diajar dalam bahasa ibunda kerana ia lebih mudah difahami pelajar.

Katanya kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggunakan Bahasa Malaysia dalam pengajarannya sehingga dapat melahirkan ribuan pakar dan profesional termasuk jurutera dan doktor, secara langsung membuktikan keupayaan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu.

Sekiranya pengajaran mata pelajaran berkenaan pula diajar dalam bahasa Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris maka kaedah pengajarannya perlu diperbaiki, katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Tawau di sini hari ini. Menurutnya penelitian kerajaan mendapati bahawa walaupun dasar PPSMI itu sebelum ini wujud namun ia seolah-olah tidak dilaksanakan kerana kebanyakan guru mengajar subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau bercampur-campur.

"Cuma enam peratus sahaja guru mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris...Kalau ia (PPSMI) tidak dilaksanakan, mengapa kita perlu teruskan. (Akhirnya) dasar ini meningkatkan ilmupun tidak meningkatkan penguasaan bahasa Inggerispun tidak," katanya.

Katanya kerajaan kini sedang mengambil langkah perlu untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran bahasa Inggeris termasuk mengambil lebih ramai guru-guru pakar bahasa itu serta meningkatkan kemudahan pengajaran termasuk penggunaan makmal-makmal bahasa serta mengajar kesusasteraan Inggeris di sekolah-sekolah.

Menurut Dr Mohd Puad kerajaan juga telah menerbitkan banyak kamus serta ratusan daftar istilah Sains dan Matematik yang mengandungi ratusan ribu istilah untuk digunakan ketika mengajar mata pelajaran berkenaan dalam bahasa kebangsaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan