Ong terima sokongan di majlis taklimat khas parti

Diterbitkan: Ahad, 16 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat (dua kiri) dan Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai bersalaman dengan para penyokong ketika menghadiri sesi taklimat khas berhubung isu-isu semasa termasuk isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.--fotoTHE STAR oleh Art Chen
PRESIDEN MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat (dua kiri) dan Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai bersalaman dengan para penyokong ketika menghadiri sesi taklimat khas berhubung isu-isu semasa termasuk isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.--fotoTHE STAR oleh Art Chen

KUALA LUMPUR: Lebih 800 pemimpin MCA daripada peringkat bahagian dan sayap Pemuda serta Wanita hari ini melahirkan sokongan kuat terhadap kepimpinan presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.

Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sokongan teguh itu dinyatakan pada majlis taklimat khas tertutup kira-kira tiga jam di Wisma MCA di sini, di mana Ong yang juga Menteri Pengangkutan memberikan taklimat mengenai perkembangan semasa dan maklumat terkini mengenai parti dan negara.

Liow berkata dalam taklimat itu, turut disentuh adalah dakwaan bahawa presiden MCA itu telah menerima RM10 juta untuk aktiviti parti daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing, yang telah dinafikan oleh Ong sebelum ini dan juga mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Kita dapat lihat dalam perhimpunan kali ini perpaduan parti adalah kuat. Ahli-ahli parti mempunyai semangat tinggi untuk pastikan parti kita terus kukuh dan menyokong kepimpinan Ong Tee Keat...sebulat suara memberikan sokongan kuat kepada presiden MCA," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat itu.

Liow, yang juga Menteri Kesihatan berkata pemimpin-pemimpin parti juga sebulat suara menyatakan komitmen meneruskan pembaharuan dalam parti dan meningkatkan lagi prestasi parti kedua terbesar dalam gabungan Barisan Nasional (BN) itu, dalam masa mencabar ini.

Beliau berkata taklimat khas seperti ini diadakan dari masa ke semasa, antaranya selepas kekalahan teruk parti pada pilihan raya umum lepas.

Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun pula berkata selain menyatakan sokongan kepada Ong, mereka yang hadir juga meminta Ong agar meneruskan segala tindakan yang perlu berhubung isu PKFZ.

Chew juga ditanya mengenai spekulasi adanya usaha untuk menjatuhkan Ong.

"Saya rasa apa yang berlaku dia (Ong) telahpun memberitahu bahawa)...kemungkinan besar memang ada perkara sebegini," katanya.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak menghadiri majlis taklimat ini, dan mengulas perkara ini, Chew berkata beliau tidak mahu membuat sebarang andaian mengenai ketidak hadiran bekas menteri itu.

"Saya sebenarnya tak nak beri komen, kerana mungkin beliau (Dr Chua) ada alasan dan sebab yang lain. Tak adil untuk saya membuat kesimpulan untuk beliau," katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sementara itu, Ong yang mengelak daripada cuba menjawab soalan pemberita hanya memberikan beberapa komen ringkas, antaranya menyatakan mereka yang hadir telah bertanyakan soalan yang baik dan para pemimpin parti menyampaikan mesej yang perlu disampaikan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan