Kerajaan Selangor beri penjelasan isu pemindahan kuil

Diterbitkan: Ahad, 16 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor akan memberi penjelasan berhubung keputusannya memindahkan sebuah kuil Hindu dari Seksyen 19, Shah Alam ke sebuah tapak perindustrian berhampiran Taman Ixora di Seksyen 23 berikutan terdapat rasa tidak puas hati di kalangan penduduk di situ.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau memahami situasi itu dan diharap dengan penjelasan yang bakal diberikan, orang ramai terutama penduduk Seksyen 23 akan memahami dan menerima keputusan kerajaan Selangor itu.

"Keputusan (pemindahan kuil) diambil setelah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak-pihak terlibat termasuk jawatankuasa pengurusan kuil.

Akan tetapi, kawasan Seksyen 23 akan dipantau terlebih dahulu untuk mengenal pasti sama ada keputusan kerajaan negeri memberikan kesenangan kepada masyarakat di kawasan situ atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Agihan Fakir Miskin sempena Ramadan dan Aidilfitri di Masjid Nurul Iman, Batu 8, Ijok, dekat sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bantahan seramai 200 penduduk Taman Ixora hari ini yang tidak mahu Kuil Sri Maha Mariamman itu dipindahkan berhampiran taman perumahan mereka.

Jumaat lepas, Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 menghantar memorandum bantahan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, supaya kuil itu tidak dibina di kawasan mereka kerana ia terletak hanya 160 meter dari kawasan penempatan, 50 meter dari taman permainan kanak-kanak dan 150 meter dari Surau Al-Jannah di taman perumahan itu.

Wakil penduduk taman itu juga mempertikaikan mengapa tidak ada pendengaran awam dibuat bagi mendengar pandangan mereka mengenai pemindahan tapak kuil itu tambahan pula 70 peratus daripada penduduknya adalah beragama Islam.

Khalid berkata adalah sukar untuk mencari tempat yang tidak padat penduduknya di Selangor untuk menjalankan kerja-kerja pemindahan rumah beribadat.

"Kita hidup dalam masyarakat majmuk dan oleh itu, kita mesti bertimbang rasa antara satu sama lain dalam isu pemindahan ini," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan