Salleh calon PAS tanding DUN Permatang Pasir

Diterbitkan: Sabtu, 15 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Salleh Man (tengah) selepas diumumkan sebagai calon PAS pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir sebentar tadi.
Salleh Man (tengah) selepas diumumkan sebagai calon PAS pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir sebentar tadi.

SEBERANG PRAI: PAS mengumumkan Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man akan mewakili parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir minggu depan.

Salleh, 52, pernah bertanding kerusi Pinang Tunggal pada tahun 2004 dan Sungai Dua, Mac 2008.

Pinang Tunggal dan Sungai Dua merupakan antara empat bahagian pilihan raya yang pernah ditandinginya sejak tahun 1986.

Bagaimanapun beliau tidak pernah memenangi mana-mana kerusi, pun begitu kata Salleh beliau berharap untuk menang pada kali ini.

Salleh, seoarang pentadbir sekolah agama, merupakan lulusan pengajian Syariah dari Universiti Malaya dan dilantik sebagai Pusuruhjaya PAS Pulau Pinang tahun lalu.

Beliau mempunyai seorang isteri dan lima orang anak.

Namanya diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Permatang Pasir, Kg. Permatang Pasir dekat sini malam tadi.

"Kami harap beliau akan menang kali ini," kata Hadi.

Kerusi itu disandang oleh wakil PAS, Datuk Hamdan Abdul Rahman, yang telah meninggal dunia hujung bulan lalu.

Kira-kira lima jam terdahulu Barisan Nasional (BN) pula mengumumkan akan menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

Rohaizat, 38, merupakan penasihat undang-undang dan lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Cawangan Mengkuang, Bukit Mertajam, menyertai Umno pada 1996.

Pemilihan beliau diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Permatang Pasir dekat sini kira-kira 5.30 petang semalam.

"Setelah ambil kira pandangan semua pihak, calon yang paling layak, boleh diterima rakyat, setelah dibincang dengan (Perdana Menteri) Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang kini berada di luar negara, didapati calon yang paling sesuai ialah Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman," kata beliau ketika mengumumkan nama calon dan melancarkan jentera BN di pusat gerakan induk BN di Bukit Merah, Permatang Pauh dekat sini petang ini.

Pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Permatang Pasir dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan seorang calon Bebas.

Pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42, telah menyuarakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan