Teoh mungkin diheret, kata saksi

Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BARANG KES... Gambar menunjukkan bahagian belakang tapak kasut kanan milik mendiang Teoh yang terdapat kesan calar ketara dengan kapur.
BARANG KES... Gambar menunjukkan bahagian belakang tapak kasut kanan milik mendiang Teoh yang terdapat kesan calar ketara dengan kapur.

SHAH ALAM: Setiausaha politik Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock mungkin diheret kerana siasatan polis menunjukkan adanya kesan geseran di bahagian tepi kasut mendiang, kata saksi ke-13 inkues semalam.

Perkara tersebut dimaklumkan Pegawai Penyiasat Tempat Kejadian dari cawangan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Cif Insp Mazli Jusoh dalam keterangannya dihadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Tambah Mazli, hasil pemeriksaannya turut mendapati ada kesan geseran yang ketara di tapak kasut kanan mangsa.

"Ada kesan geseran ketara...kesan kapur," kata Mazli.

Bagaimanapun beliau menjelaskan tidak membuat pemeriksaan bagi mengesan dari mana kesan kapur itu datang.

Sebelum itu, peguam pemerhati bagi kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar bertanya kepada Mazli sama ada beliau bersetuju bahawa kesan geseran yang terdapat pada kasut tersebut mempunyai implikasi yang penting.

Mazli bersetuju dengan pendapat tersebut.

Bagaimanapun pada mulanya Mazli menolak teori yang dikemukakan Malik bahawa si mati berkemungkinan diseret.

"Adakah kemungkinan si mati diseret," soal Malik.

Mazli menjawab: "Tidak...pada kebiasaannya kalau seseorang diseret ia tak kena pada tapak kasut, sebab kalau diseret dari belakang ia akan tahan dengan kaki dengan tumit."

Malik kemudiannya menyoal balas: "Tapi kalau diseret dari tepi, ada kemungkinan?"

Mazli kemudiannya menjawab: "Ada."

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kesan geseran sehingga menampakkan lapisan kain yang melekat di atas tapak kasut, Mazli berkata bahan tersebut bukan bahan asing, tapi merupakan sebahagian daripada kasut tersebut.

"Adakah kamu periksa sama ada kesan gentian fabrik tersebut melekat pada kasut?" soal koroner.

Mazli bagaimanapun menjawab bahan tersebut memang berasal dari kasut.

Koroner bertanya lagi: "Tapi kamu tak periksa apakah bahan itu?"

"Saya tak periksa, tapi untuk pastikan perlu hantar balik ke kilang," kata Mazli.

Jelas Mazli lagi, beliau tidak menjumpai sebarang bahan yang sama untuk dipadankan dengan kesan tersebut.

Mazli juga memberitahu mahkamah bahawa tingkap seluas hampir 0.6 meter dengan ketinggian 0.9 meter itu boleh dilangkah keluar.

Namun jelasnya hasil pemeriksaan tidak menunjukkan sebarang kesan tapak kasut.

"Saya dah periksa kawasan itu... ia berhabuk, kalau berhabuk dan dipijak pasti meninggalkan kesan, tapi tiada kesan (tapak kasut)," katanya.

Beliau turut menjalakan proses pengesanan cap jari di bahagian tingkap dengan mneggunakan kaedah 'dusting'.

"Saya minta buat pengesanan cap jari di tingkap, tapi keputusannya negatif... negatif disebabkan keadaan tingkap yang kotor dan berhabuk," katanya.

Dalam pada itu, saksi ke-14, DSP Shahrul Othman Mansor, seorang pegawai makmal forensik Bukit Aman berkata beliau turut menemui kesan seperti tapak kasut di bahagian bawah tingkap yang dipercayai tempat Teoh jatuh dari tingkat 14 yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Di bahagian bawah (tingkap) kelihatan seperti kesan tapak kasut... tapi tak begitu jelas.

"Saya arahkan pegawai untuk ambil gambar... ukurannya lebih kurang sembilan inci (22 sentimeter)," kata Shahrul.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Tambah Shahrul, hasil pemeriksaannya di bahagian tingkap berkenaan juga tidak terdapat kesan yang menunjukkan wujudnya pergelutan di kawasan berkenaan.

Jelasnya tingkap berkenaan tidak berkunci kerana penguncinya telahpun patah.

"Saya cuba periksa tingkap untuk cari bahan bukti, saya dapati tingkap itu tidak berkunci kerana pengunci tingkap telahpun patah.

"Yang tinggal hanya tapak pengunci...hasil pemeriksaan ada kesan skru yang baru patah, setelah gambar diambil saya arah buka tapak tersebut untuk jadikan bahan bukti," kata Shahrul.

Peguam bagi pihak kerajaan, Tan Hock Chuan cuba mendapatkan kepastian sama ada Shahrul mengambil kesan cap jari pada bahagian tingkap.

Tan: "Ada kamu mengambil kesan cap jari di tingkap?"

Shahrul: "Tidak kerana ia telah diambil oleh bahagian forensik Selagor."

Kata Shahrul, beliau tidak mengambil kesan cap jari di tingkap kerana beliau dan pasukannya tiba ke tempat kejadian selepas tiga hari kes tersebut berlaku iaitu pada 19 Julai.

"Saya tak buat kerana saya tiba selepas tiga hari, saya percaya ada pencemaran berlaku," kata Shahrul.

Selain itu, Sharul turut memberitahu ketika berada di pejabat SPRM, beliau juga melakukan pemeriksaan di dalam bilik mesyuarat utama yang digunakan untuk menyoal si mati serta bilik untuk merakam percakapan, namun tidak menemui sebarang bahan bukti di dalam kedua-dua bilik itu.

"Saya buat pemeriksaan menggunakan mata kasar serta turut menggunakan kaedah 'polilight' untuk periksa bahan bukti seperti darah atau rambut, tapi tiada sebarang bahan bukti diperolehi," katanya.

Prosiding hari ini ditangguhkan kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan akan bersambung semula esok.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan