SPRM tahan pembantu khas Ronnie Liu

Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Wong Chuan How, pembantu khas kepada Exco Selangor, Ronnie Liu selepas berlaku pergelutan pagi tadi.

Kedua-dua pihak membuat laporan polis berikutan insiden itu.

SPRM mendakwa Wong yang merupakan ahli Majlis Perbandaran Sepang dan juga seorang kontraktor, cuba mengelak daripada ditangkap dan melepaskan diri ketika insiden pada pukul 9.30 pagi tadi di pusat perkhidmatan Sungai Pelek di Sepang.

SPRM sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan negeri Selangor oleh beberapa wakil rakyat negeri itu.

Sumber memberitahu The Star, pegawai SPRM telah datang berjumpa Wong pagi tadi dan mengatakan beliau telah "hilang" selama beberapa minggu walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menghubunginya berhubung dakwaan beliau telah diberikan lebih 230 projek bernilai hampir RM500,000.

Sumber memberitahu, SPRM telah menahan dua lelaki pada minggu lalu yang mana syarikat mereka digunakan oleh kontraktor untuk mendapatkan projek-projek tersebut.

Ketika dihubungi tengah hari tadi, Liu sedang membawa Wong, 50, ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan bagi kecederaannya.

Liu berkata, pada mulanya, Wong diberitahu yang beliau akan disoal siasat sebagai saksi tetapi sebaliknya tiga pegawai SPRM yang datang ke pusat perkhidmatan itu pagi tadi memberitahu Wong adalah suspek dan akan ditahan serta dibawa ke pejabat SPRM untuk disoal siasat.

"Bila saya mengetahuinya, saya menghubungi pegawai atasan SPRM dan bertanya jika mereka boleh menjamin keselamatan peribadi Wong.

"Bila mereka tidak melakukannya (memberi jaminan), saya memberitahu Wong supaya membuat laporan polis sebelum pergi bersama mereka.

"Kerajaan negeri Selangor tidak akan mengambil risiko lagi jika berkaitan dengan keselamatan kakitangan, berdasarkan kes Teoh," katanya.

Setiausaha politik seorang exco Selangor, Teoh Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai lalu di bangunan Plaza Masalam, tempat yang menempatkan pejabat SPRM, sehari selepas dibawa ke pejabat itu untuk disoal siasat. Inkues kini sedang dijalankan untuk mengetahui punca kematian.

Liu berkata, pegawai SPRM sepatutnya menjalankan soal siasat di pusat perkhidmatan Sungai Pelek.

"Undang-undang tidak mensyaratkan di mana SPRM perlu menjalankan soal siasat mereka, jadi tidak perlu bagi mereka untuk membawanya ke pejabat mereka," kata Liu yang mendakwa pergelutan pagi tadi berlaku disebabkan Wong keluar dari pejabat untuk membuat laporan di balai polis.

Liu berkata, berlaku tolak menolak yang menyebabkan Wong terjatuh.

"Beliau tidak boleh berjalan buat masa ini dan seluruh kaki kanannya bengkak," katanya.

Liu berkata, beliau telah meminta pegawai SPRM membenarkan Wong ditahan di hospital untuk dirawat.

"Bagaimanapun pegawai atasan SPRM tidak bersetuju dan berkata, mereka akan membenarkan Wong menerima rawatan pesakit luar dan soal siasat akan diteruskan," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan