Dua pegawai polis Bukit Aman ambil kenyataan Loke

Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini mengambil kenyataan Ketua Pemuda Sosialis DAP Loke Siew Fook di pejabatnya di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak di sini.

Loke yang juga anggota Parlimen Rasah dan anggota DUN Lobak berkata pegawai polis itu ialah Supt Victor bin Sanjos dan dibantu oleh ASP Hazizi A.Samad dari unit siasatan perisian komputer, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia.

"Mereka datang ke pejabat saya pada kira-kira pukul 10 pagi dan mengambil kenyataan percakapan saya selama dua setengah jam. Kedua-dua pegawai polis itu mengambil kenyataan saya sebagai seorang saksi. Peguam Siow Kim Leong yang merupakan pengerusi biro guaman DAP turut bersama semasa kenyataan percakapan saya diambil," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya kenyataannya diambil ekoran beliau telah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur Isnin lepas untuk menafikan bahawa beliau telah mengeluarkan apa-apa perkataan atau pun ayat yang menghina agama Islam dan Sultan Perak.

"Di sini, sekali lagi saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan itu ditulis oleh saya. Saya tidak pernah menulis apa-apa yang menghina agama Islam atau pun Sultan Perak," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan