Tee Keat buat laporan polis terhadap Tiong King Sing

Diterbitkan: Khamis, 13 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat membuat laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing dan menyamannya jika Tiong tidak menarik balik tuduhan bahawa beliau memberikan RM10 juta untuk aktiviti parti itu tahun lepas.

Menteri Pengangkutan itu menafikan bahawa beliau menerima wang itu.

"Peguam saya telah diarahkan untuk memfailkan satu injunksi menghalang Tiong daripada membuat tuduhan fitnah lagi," kata beliau pada persidangan akhbar di Ibu pejabat MCA di sini hari ini.

Katanya satu laporan telah difailkan di Balai Polis Cheras hari ini mengenai kenyataan fitnah itu yang disiarkan oleh portal Malaysiakini semalam.

Peguam beliau akan menghantar surat kepada Tiong untuk memintanya menarik balik tuduhan itu dalam masa tujuh hari atau menghadapi tindakan undang-undang, tegasnya.

"Inilah kerja orang yang mahu menidakkan ketulusan dan tangungjawab saya sebagai Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA. "Jelas menunjukkan motif dan niat individuindividu ini untuk menjejaskan usaha Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berhubung isu Zon Bebas Lembaga Pelabuhan Klang," kata Ong. Kuala Dimensi ialah kontraktor projek siapguna PKFZ yang juga menjadi perkara utama dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

Tiong, Anggota Parlimen Bintulu dan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, mendakwa bahawa wang itu diserahkan dalam tiga pembayaran.

"Sebagai Presiden MCA, saya yakin bahawa parti ini sangat kuat untuk menghadapi cabaran seperti ini dan usahausaha untuk melemahkannya," tambah Ong.

Mengenai dakwaan bahawa beliau menggunakan jet khas syarikat tersebut lima kali dengan kos AS$40,000, Ong berkata beliau hanya menggunakannya sebanyak empat kali pada tahun ini.

"Pada kebiasaan, jika saya boleh naik pesawat komersial, saya akan ...hanya jika saya sangat memerlukan perkhidmatan seperti itu, disebabkan kesuntukan masa atau segera, barulah sebagai pilihan terakhir, saya cari perkhidmatan ini," kata beliau. Beliau mempersoalkan keikhlasan syarikat tersebut membuat dakwaan seperti itu, dengan mengatakan jika ada pembayaran tertunggak, satu invois boleh dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

"Kewajipan itu terletak kepada mereka. Jika kita tidak bayar, mereka mesti beritahu kita," tambah beliau.

Mengenai satu lawatan, katanya beliau ditawarkan tempat duduk selepas menghadiri satu majlis di Kuching.

"Malahan itu pun menjadi sesuatu yang berlainan," kata beliau. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan