Ong: Dakwaan CEO Kuala Dimensi, timbalannya bertujuan alih isu PKFZ

Diterbitkan: Khamis, 13 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat menyifatkan dakwaan terbaru terhadap beliau oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimesi Sdn. Bhd., Datuk Seri Tiong King Sing sebagai satu usaha untuk mememsongkan isu projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Jika pun saya ada menerima manfaat kewangan bagi diri saya ataupun parti, sudah tentu ada lebih banyak sebab bagi saya untuk melindungi kepentingan pemberi berbanding tindakan mendedahkan kesalahan mereka.

"Dengan berbuat demikian saya mengambil risiko terhadap keselamatan diri saya dan keluarga saya, malah kredibiliti saya sendiri," kata Ong yang juga Presiden MCA dalam blognya.

Katanya, beliau tidak terkejut dengan kempen memburukkan nama dan usaha memusnahkan karakter seumpama itu, yang semakin meningkat ekoran pendedahan isu PKFZ baru-baru ini.

Semalam Tiong mendakwa bahawa Ong ada menerima "pinjaman" berjumlah RM10 juta daripadanya untuk kegunaan bahagian-bahagian MCA manakala Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi, Datuk Faizal Abdullah pula mendakwa kementerian Ong pernah menerima pesawat disewa khas daripada syarikatnya.

Kuala Dimensi merupakan pemaju utama projek PKFZ.

Sambil menyifatkan kempen memburukannya itu satu lagi halangan, Ong menambah, beliau akan berbincang dengan peguam-peguamnya dan mendapatkan khidmat nasihat perundangan terhadap kenyataan berunsur fitnah itu.

Ong juga menyangkal dakwaan Faizal bahawa beliau berhutang lebih daripada AS$40,000 kerana mendapatkan khidmat penerbangan daripada syarikatnya.

Kata Ong, pejabatnya sehingga kini belum menerima invois atas khidmat yang telah digunakan itu.

"Saya sudah pasti urusan perniagaan tidak akan mengeluarkan invois menerusi kenyataan akhbar," katanya lagi.

Sehubungan itu, Ong menekankan, dakwaan-dakwaan sedemikian tidak akan menghalang beliau daripada memastikan isu PKFZ diselesaikan demi kepentingan kerajaan dan rakyat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan